KUALA LUMPUR 3 Julai - Hasil kutipan tambahan daripada semakan perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) akan digunakan bagi meningkatkan taraf kehidupan rakyat, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Katanya, kesan berantai daripada perluasan SST terdahulu adalah terkawal dan ia dibuktikan dengan kadar inflasi yang rendah pada tahun lalu.
Beliau berkata, kerajaan amat berhati-hati dan berhemah dalam melaksanakannya bagi mengurangkan kesan terhadap barangan keperluan asas rakyat dan beban yang ditanggung oleh perniagaan kecil.
Menurutnya, hasil tambahan yang diperoleh itu juga membolehkan penambahbaikan berterusan dalam perkhidmatan awam khususnya peningkatan jumlah bantuan tunai kepada rakyat, serta memperkukuh prasarana asas dan penyampaian perkhidmatan awam.
"Pendekatan yang kita buat dalam belanjawan tahun lalu adalah untuk meningkatkan perkhidmatan yang kita ada kepada rakyat.
"Walaupun SST diperluaskan kepada sesetengah barangan dan perkhidmatan, namun ia tidak membabitkan barangan asas yang digunakan rakyat," katanya semasa program audio siar Keluar Sekejap.
Dalam episod itu, membincangkan secara mendalam mengenai hala tuju dasar fiskal negara, penyasaran subsidi RON95, peluasan SST serta pelaksanaan Kerangka Ekonomi MADANI.
Mengulas mengenai kedudukan defisit fiskal negara, Amir Hamzah berkata, paras defisit semakin baik dengan pada tahun lalu mencapai paras 4.1% berbanding 5.5% pada 2022.
"Kita sudah nampak banyak penambahbaikan dan kemajuan. Tahun lalu 4.1%, tahun ini kita anggar 3.8%. Justeru, nampak penambahbaikan," katanya.- DagangNews.com








