Hasil SLP Resources diramal naik disokong tempahan baharu daripada Jepun - Kenanga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil SLP Resources diramal naik disokong tempahan baharu daripada Jepun - Kenanga

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Mei — SLP Resources Berhad diramal meraih hasil lebih baik disokong tempahan eksport terbaharu daripada pelanggan Jepun yang akan bermula pada suku kedua berakhir 31 Disember 2025, kata Kenanga Research.


Firma penyelidikan tersebut berkata, kumpulan berkenaan pada 1QFY25 mencatatkan keuntungan bersih yang lebih rendah sedikit iaitu sebanyak RM3.27 juta atau pendapatan asas sesaham 1.03 sen berbanding RM4.94 juta atau 1.56 sen setahun lalu.


Tambahnya, hasil yang direkodkan adalah lebih tinggi sebanyak RM41.07 juta daripada RM40.8 juta dan membolehkan SLP mengisytiharkan dividen satu sen sesaham bagi suku tersebut, sedikit di bawah unjuran tahun penuh sebanyak 4.8 sen.


"Kami menganggapnya sejajar dengan jangkaan kerana hasil lebih kukuh diunjur pada masa hadapan, memandangkan kumpulan itu telah memperoleh pelanggan baharu Jepun, dengan tempahan ditetapkan bermula pada 2QFY25," kata Kenanga dalam satu nota kajian.


Katanya, kemerosotan 31 peratus dalam keuntungan bersih SLP Resources pula disebabkan perubahan dalam campuran jualan produk dan kos operasi yang lebih tinggi berikutan pelaksanaan gaji minimum baharu.


Walaupun margin keuntungan dimampatkan pada suku berkenaan, firma penyelidikan tersebut kekal optimistik mengenai langkah pemulihan kumpulan itu pada masa hadapan, khususnya dengan jangkaan sumbangan hasil daripada pelanggan baharu Jepun.


Kenanga berkata, Jepun akan terus menjadi pasaran utama kepada SLP Resources sendiri dengan menyumbang antara sebanyak 30 peratus sehingga 40 peratus daripada keseluruhan jumlah jualan pembungkusan plastiknya.


Syarikat itu kata firma berkenaan, turut menjangka permintaan akan bertambah baik untuk produk dapur dan beg sampahnya apabila penggunaan di pasaran Jepun mula meningkat, dengan dibantu oleh pemulihan dalam aktiviti pelancongan.


Di luar Jepun pula tambahnya, SLP Resources sedang giat berkembang ke pasaran eksport yang lain termasuk New Zealand dengan strategi kepelbagaian ini dijangka dapat mengurangkan pergantungan kumpulan itu hanya pada mana-mana pasaran tunggal.


Langkah tersebut kata Kenanga, diramalkan dapat membantu syarikat berkenaan untuk mengurangkan kesan daripada peningkatan kos operasi bulanan, termasuk isu utiliti dan gaji pekerja.


Di peringkat global, potensi pelaksanaan tarif Amerika Syarikat ke atas eksport Malaysia dijangka memberi impak minimum kepada kumpulan itu kerana negara tersebut hanya menyumbang kurang tiga peratus kepada keseluruhan hasilnya.


Sehubungan itu, firma penyelidikan berkenaan terus mengekalkan saranan "outperform" ke atas SLP Resources dengan harga sasaran sesahamnya diunjurkan kepada RM1. - DagangNews.com