Hasil Sarawak Plantations pada 2QFY25 dijangka lemah berikutan harga minyak sawit lebih rendah - Apex Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil Sarawak Plantations pada 2QFY25 dijangka lemah berikutan harga minyak sawit lebih rendah - Apex Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 Mei — Sarawak Plantation Berhad dijangka mencatatkan hasil yang lebih lemah disebabkan penurunan harga minyak sawit mentah (MSM) pada 2QFY25 selepas mencapai paras tertinggi pada akhir 2024, kata Apex Securities.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kelemahan harga berkenaan didorong oleh faktor ketidaktentuan geopolitik yang semakin meningkat pada ketika ini dan jangkaan pemulihan bermusim dalam proses tuaian tandan buah segar (BTS) seterusnya.


Ia memberi amaran, sentimen menurun itu ditambah lagi dengan harga minyak mentah Brent jatuh kepada kira-kira AS$60 setong berikutan keputusan Pertumbuhan Negara Pengeksport Petroleum (OPEC+) untuk meningkatkan kadar pengeluaran mereka.


"Kami berpendapat, langkah organisasi itu menambah sebanyak 411,000 tong sehari mulai 5 Jun 2025 akan mengakibatkan harga lebih rendah dan boleh memberi kesan kepada MSM bagi suku-suku berikutnya," katanya dalam satu nota kajian.



Tindakan OPEC+ kata firma tersebut, berpotensi boleh mengekang pelaksanaan biodiesel berasakan MSM di Indonesia, memandangkan beban subsidi yang lebih berat diperlukan bagi mengekalkan mandat kepada golongan berpendapatan rendah atau B40.


Sarawak Plantations bagaimanapun merekodkan hasil yang kukuh bagi 1QFY25, disokong faktor harga MSM lebih tinggi awal tahun ini dan firma itu juga mengekalkan unjuran harga sebanyak RM4,300 setan pada FY25 walaupun ada penurunan baru-baru ini.


Ia namun tidak membuat sebarang perubahan pada unjuran pendapatan syarikat perladangan itu dan mengekalkan saranan "pegang" ke atas sahamnya dengan harga sasaran diunjurkan RM2.30 sesaham berdasarkan kepada ramalan pendapatan FY25.


Sementara itu, Apex Securities berkata, aktiviti penanaman semula untuk FY25 masih melebihi sasaran lima peratus kepada 2,800 hektar, menyebabkan kawasan yang tidak matang meningkat pula kepada 25 peratus berbanding 17 peratus pada 2024.


"Walaupun aktiviti penanaman semula yang tinggi, kami menjangkakan gangguan terhad kepada pengeluaran MSM, kerana hasil BTS akan disokong oleh bahagian lebih tinggi daripada pokok sawit menjelang memasuki fasa tuaian puncak," katanya.


Firma penyelidikan tersebut menjangkakan, aktiviti pembelian BTS oleh pihak ketiga boleh meningkat sebanyak 25 peratus tahun ke tahun kepada 280,000 tan pada FY25 untuk dapat mengurangkan kesan pengeluaran dalaman yang lebih rendah.


Ia turut mengekalkan ramalan pengeluaran MSM dilaksanakan Sarawak Plantations sebanyak 116,000 tan, iaitu pertumbuhan sebanyak sembilan peratus tahun ke tahun. - DagangNews.com