Hasil Nestlé Malaysia dijangka lemah disebabkan tekanan margin - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil Nestlé Malaysia dijangka lemah disebabkan tekanan margin - CIMB Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 29 April — Hasil Nestlé (Malaysia) Berhad diunjur berkurangan pada baki suku tahun kewangan 2025, disebabkan tekanan margin daripada kos input yang lebih tinggi serta dibebani oleh ketiadaan tempoh perayaan utama, kata CIMB Securities Sdn Bhd.


Bagaimanapun firma penyelidikan tersebut menjangkakan peningkatan sebanyak 23.6 peratus dalam keuntungan bersih teras syarikat berkenaan, disokong oleh kenaikan 7.9 peratus dalam pendapatan, selain ramalan jualan domestik dan eksport yang lebih kukuh.


Di pasaran dalam negeri, ia menganggarkan hasil syarikat membentuk kira-kira 80 peratus daripada jumlah jualan pada suku pertama 2025 dan menjangkakan pemulihan beransur-ansur dalam permintaan setelah kesan boikot pengguna menunjukkan tanda berkurangan.


"Jualan eksport juga dijangka berkembang, yang bakal memanfaatkan peranan Nestlé Malaysia sebagai hab pembuatan dan eksport produk Halal global untuk kumpulan tersebut," kata CIMB Securities dalam satu nota kajiannya.


Walaupun harga komoditi adalah lebih tinggi terutama untuk biji kopi dan koko boleh memberi tekanan pada margin, ia berkata syarikat itu boleh mengurangkan masalah tersebut melalui pelarasan harga dan campuran jualan yang lebih baik.


Langkah berkenaan kata firma penyelidikan itu, termasuk dengan syarikat tersebut perlu melaksanakan penetapan harga yang lebih tinggi bagi item terpilih dan inisiatif kecekapan kos.


Ia merujuk keputusan kewangan Nestlé Malaysia bagi suku pertama tahun kewangan 2025 yang menunjukkan berlaku penurunan sebanyak 19.3 peratus dalam keuntungan bersih teras kepada RM177 juta, disebabkan faktor jualan domestik yang lemah.


Bagaimanapun, CIMB Securities menyatakan bahawa, pendapatan syarikat itu kekal dalam jangkaan, dengan menyumbang 34 peratus daripada anggaran setahun penuhnya dan 36 peratus daripada konsensus Bloomberg.


Sambil mengekalkan anggaran pendapatan sesaham FY25 hingga FY27 dan saranan 'tahan' ke atas Nestlé Malaysia, firma tersebut menurunkan harga sasaran sesahamnya kepada RM86.20 daripada RM92 sebelumnya.


Perubahan itu adalah untuk mencerminkan kos purata wajaran modal yang lebih tinggi sebanyak 6.4 peratus berbanding 5.9 peratus sebelumnya, sambil mengekalkan andaian kadar pertumbuhan terminal sebanyak 2.5 peratus.


"Pandangan kami disokong lagi oleh permintaan tidak anjal untuk produk ruji utama pengguna Nestlé, ekuiti jenamanya adalah kukuh dan portfolio produk yang pelbagai merentasi kategori makanan utama," katanya. - DagangNews.com