KUALA LUMPUR 9 Mei — Hasil Kim Loong Resources Berhad dianggar tidak berubah pada 1QFY26 disebabkan faktor kekurangan pengeluaran, kata AmInvestment Bank Research.
Firma penyelidikan itu bagaimanapun percaya, bahagian perladangan akan menikmati purata harga minyak sawit mentah (MSM) sebanyak RM4,400 setiap tan pada 1QFY26, iaitu lima peratus tinggi berbanding RM4,180 setiap tan bagi tempoh 1QFY25.
Katanya, keadaan semasa di estet syarikat itu akan banyak dipengaruhi prestasi penuaian buah tandan segar (BTS) mereka sendiri yang dijangka berkurangan antara dua hingga empat peratus YoY dalam masa tiga bulan itu nanti.
"Bagi bahagian pengilangan pula, kami menjangka perolehan sebelum cukai dan kepentingan (EBIT) meningkat sedikit YoY pada 1QFY26 kerana bekalan BTS lebih rendah diimbangi oleh caj pemprosesan yang tinggi," katanya dalam satu nota kajian.
Selain itu, firma penyelidikan tersebut berpendapat, EBIT pengilangan akan menjadi normal kepada julat antara RM20 juta hingga RM30 juta pada tempoh 1QFY26 berbanding sebelumnya sebanyak RM13.5 juta sahaja ketika 4QFY25.
Pemulihan pendapatan tersebut katanya, dijangka didorong oleh kadar caj pemprosesan lebih tinggi, usaha pemulihan berterusan dalam bekalan BTS di peringkat ladang dan pentauliahan semula operasi loji biogas di Keningau, Sabah.
AmInvestment menjangkakan aliran tunai bersih Kim Loong meningkat kepada lebih RM380 juta daripada RM364 juta pada masa ini disebabkan langkah penukaran waran sebanyak RM13.3 juta dengan harga pelaksanaan RM1.40 sesaham.
"Waran berkenaan dilaporkan sudah pun tamat tempoh matang pada 10 April 2025 dan kami menganggarkan telah berlaku aliran masuk tunai daripada penukaran tersebut iaitu sebanyak RM18.6 juta," kata firma penyelidikan itu lagi.
Ia mengekalkan saranan "beli" ke atas saham kumpulan berkenaan dengan harga sasaran (TP) pula diunjurkan terus tidak berubah kepada RM2.75 sesaham. - DagangNews.com








