KUALA LUMPUR 2 Julai - Hasil Johor Corporation (JCorp) bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2024 (FY24) meningkat sebanyak 12% kepada RM6.96 bilion berbanding RM6.2 bilion pada FY23.
Kumpulan itu berkata, prestasi itu mencerminkan momentum berterusan di bawah Pelan Penjenamaan Semula JCorp 3.0, yang sedang membentuk semula organisasi menjadi sebuah syarikat pegangan pelaburan yang berasaskan impak dan dipacu nilai.
Katanya, FY24 menyaksikan sumbangan yang lebih kukuh merentasi bidang utama, disokong oleh peruntukan modal yang lebih fokus, pengoptimuman portfolio dan penambahbaikan model operasi.
Ia turut disokong sumbangan ketara daripada bahagian agribisnes serta kesejahteraan & penjagaan kesihatan, pelupusan aset strategik, serta kawalan kos yang berkesan.
JCorp berkata, segmen kesejateraan dan penjagaan kesihatan mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 15% kepada RM3.92 bilion dengan untung bersih RM407.2 juta disokong margin yang lebih baik, kecekapan operasi yang dipertingkatkan dan pengurusan kewangan yang berhemah.
"Pada tahun kewangan sama, KPJ Helathcare Berhad telah melancarkan identiti jenama baharu bersama dengan pelancaran Sistem Kesihatan Akademik pertama di Malaysia, yang mengintegrasikan penjagaan klinikal, pendidikan dan penyelidikan.
"Matlamat KPJ adalah untuk membangunkan Pusat Kecemerlangan yang menyediakan penjagaan peribadi berasaskan hasil, diperkasakan oleh teknologi canggih seperti pembedahan robotik, subkepakaran khusus dan kerjasama antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan.

Segmen agribisnes kumpulan, yang diterajui oleh Kulim (Malaysia) Berhad melalui syarikat pelaburan terasnya, Johor Plantations Group Berhad (JPG) mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.61 bilion peningkatan sebanyak 18% berbanding tahun sebelumnya.
Katanya, operasi perladangan menyumbang 95% daripada hasil segmen tersebut, manakala selebihnya datang daripada bahagian agro makanan. Keuntungan bersih daripada operasi berterusan berjumlah RM242.7 juta, disokong oleh peningkatan harga komoditi dan kecekapan kos yang berterusan.
"JLand Group mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 9% kepada RM1.3 bilion pada FY24 didorong sumbangan daripada segmen pembangunan hartanah dan rumusan komuniti bersepadu.
"Secara keseluruhan, kumpulan mencatatkan untung bersih sebanyak RM157.8 juta," katanya.
Sementara itu, QSR Brands (M) Holdings Bhd, pengendali rangkaian KFC dan Pizza Hut di Malaysia mencatatkan pendapatan sebanyak RM3.53 bilion dengan RM3.23 bilion daripadanya adalah daripada operasi berterusan.
Di sebalik tahun yang mencabar, JCorp kekal fokus terhadap strategi transformasi yang berpaksikan kepada tiga teras utama: Perniagaan, Digital & Data, dan Budaya.

"Inisiatif strategik itu merangkumi pelaksanaan kempen pemasaran yang berkesan dan inovasi menu; pengukuhan kerjasama dan jalinan strategik; serta penggunaan data untuk memperibadikan pengalaman pelanggan, mengoptimumkan perkhidmatan dan meningkatkan produktiviti," katanya.
Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Syed Mohamed Syed Ibrahim berkata, FY24 menandakan perubahan ketara dalam cara JCorp mencipta nilai sebuah institusi pelaburan.
Beliau berkata, pihaknya telah menyusun semula portfolio, memperkukuh disiplin modal, dan memberi ruang kepada syarikat pelaburan mereka untuk memimpin dengan lebih jelas — daripada penyenaraian JPG hinggalah kepada penjenamaan semula KPJ dan inovasi dalam penjagaan kesihatan.
"Kami terus memainkan peranan sebagai pemegang amanah yang bertanggungjawab, tumpuan kami kekal untuk membina institusi yang mendorong impak jangka panjang.
"Setiap keputusan, setiap kerjasama dan setiap pelaburan mesti menyumbang kepada ketahanan ekonomi dan mencipta nilai yang berkekalan — untuk Johor dan untuk Malaysia," katanya.- DagangNews.com








