Hasil Gas Malaysia diunjur lebih lemah pada 1QFY25 disebabkan faktor bermusim - Kenanga | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil Gas Malaysia diunjur lebih lemah pada 1QFY25 disebabkan faktor bermusim - Kenanga

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 Mei — Gas Malaysia Berhad diunjur mencatatkan hasil lebih lemah pada suku pertama 2025, yang akan dilaporkan menjelang akhir bulan ini, terutamanya disebabkan faktor bekalan bermusim dan penurunan harga gas, kata Kenanga.


Firma penyelidikan tersebut berkata, syarikat itu diunjur mencatatkan keuntungan bersih antara RM95 juta sehingga RM100 juta untuk tempoh 1QFY25, turun berbanding RM113.5 juta dilaporkan pada 4QFY24 dan RM102.3 juta pada 1QFY24.


Katanya, meskipun pendapatan hadapan dijangka terjejas oleh sebaran margin dan pengurangan gas sementara pada 2QFY25, Gas Malaysia terus menawarkan hasil yang baik sebanyak 6% disokong pendapatan yang berdaya tahan.


"Kuantiti jualan yang lebih perlahan pada suku pertama adalah disebabkan hari bekerja dan cuti perayaan yang lebih sedikit, sejajar dengan jumlah jualan suku pertama adalah berkurangan disebabkan faktor bermusim," katanya dalam satu nota kajian.


Kesan minimum ke atas bilangan jualan Gas Malaysia katanya, berikutan gangguan bekalan yang ekoran tragedi kebakaran saluran paip di Putra Heights, Selangor pada 1 April 2025 dan jangkaan dapat dipulihkan sepenuhnya menjelang 1 Julai 2025.


Justeru, firma berkenaan percaya, keputusan 1QFY25 syarikat tersebut juga akan diseret ke bawah oleh faktor harga gas yang semakin rendah, seiring dengan kejatuhan harga minyak mentah, serta ramalan margin runcit lebih sempit.


Kenanga berkata, Harga Rujukan Malaysia (MRP) untuk gas asli berada pada arah aliran menurun sejak memuncak pada tempoh 1QFY23 dan kelemahan berkenaan akan memberi kesan kepada margin runcit Gas Malaysia yang kelazimannya tidak dikawal.


Selain itu, ia menjangkakan syarikat tersebut akan melihat margin yang lebih sempit untuk mengekalkan pelanggan daripada pembaharuan kontrak yang berkuat kuasa mulai Januari 2025.


Bagaimanapun firma itu menggemari Gas Malaysia kerana kedudukan kukuh pasaran sebagai pembekal utama gas asli di Malaysia dengan keterlihatan pendapatan teguh, disokong oleh keupayaan mengekalkan pelanggan, kebiasaannya melalui kontrak tiga tahun.


"Syarikat ini mencatatkan penjanaan aliran tunai percuma yang kukuh, dengan memperoleh hasil dividen sebanyak 6 peratus dan kami percaya yang kedudukan positif sudah ditunjukkan dalam harga," kata Kenanga.


Ia turut mengekalkan penarafan "market perform" tetapi menurunkan harga sasaran (TP) kepada RM3.93 sesaham berbanding RM3.95 sebelum ini. - DagangNews.com