Hari Keempat Bantuan SARA berjalan lancar, catat jualan lebih RM117 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hari Keempat Bantuan SARA berjalan lancar, catat jualan lebih RM117 juta

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 4 Sept - Pelaksanaan Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang memasuki hari keempat hari ini berjalan lancar dengan rekod jualan sebanyak RM117.1 juta, melibatkan 1.8 juta penerima di seluruh negara.

 

Menurut kenyataan Kementerian Kewangan (MOF), jumlah itu meningkat berbanding hanya RM76.8 juta oleh 1.1 juta penerima pada 2 Sept.

 

"Kadar transaksi berjaya juga meningkat kepada 99.7 peratus berbanding 95 peratus pada 2 Sept," menurut kenyataan MOF di sini malam tadi.

 

SARA merupakan bantuan tunai kerajaan berjumlah RM100 yang disalurkan ke dalam MyKad untuk digunakan membeli barangan keperluan di pasar raya dan kedai runcit terpilih di seluruh negara.

 

Selain itu, usaha penambahbaikan dan peluasan kapasiti pemprosesan sistem sepanjang tiga hari telah menyumbang kepada kestabilan sistem yang tercapai hari ini.

 

Sejak pelaksanaan pada 31 Ogos, lebih 4.8 juta rakyat membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit Penghargaan SARA sebanyak RM100 dan SARA, dengan jumlah perbelanjaan rakyat mencecah RM 312.6 juta di seluruh negara.

 

Menurut MOF, kredit RM100 Penghargaan SARA kekal sah hingga 31 Dis 2025 dan boleh digunakan di lebih 7,300 premis runcit berdaftar di seluruh negara. - DagangNews.com