Harga minyak naik, hasil bertambah tetapi subsidi meningkat - CIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Harga minyak naik, hasil bertambah tetapi subsidi meningkat - CIMB Securities

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 18 Jun - Harga minyak mentah dunia yang meningkat boleh menambah pendapatan negara, tetapi pada masa sama turut meningkatkan kos subsidi petrol, menurut CIMB Securities.

 

Firma penyelidikan itu menjelaskan, setiap kenaikan RM4.25 bagi harga minyak mentah boleh memberi hasil tambahan RM250 juta hingga RM300 juta kepada Malaysia menerusi cukai pendapatan petroleum.

 

Namun, untuk mengekalkan harga petrol RON95 seperti sekarang, kerajaan perlu mengeluarkan lebih RM400 juta subsidi.

 

 

 

 

 

"Memang hasil kerajaan bertambah jika harga minyak melebihi RM339.68 setong, tapi keuntungan itu diimbangi dengan kos subsidi yang turut meningkat," kata CIMB Securities dalam satu nota kajian.

 

Dalam Belanjawan 2025, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM52.6 bilion bagi subsidi dan bantuan.

 

CIMB Securities memberi amaran, jika harga minyak kekal tinggi dalam tempoh yang lama, ia boleh menjejaskan kewangan negara dan mengurangkan peruntukan untuk sektor penting seperti pembangunan infrastruktur dan program sosial.

 

Menurut firma penyelidikan berkenaan, jika kenaikan harga hanya berlaku dalam jangka masa pendek, kesannya kepada bajet negara mungkin kecil. 

 

Namun, kos subsidi akan meningkat dan mengecilkan ruang kewangan kerajaan sekiranya keadaan tersebut berterusan.

 

Penilaian itu dibuat susulan ketegangan geopolitik di Asia Barat yang menyebabkan harga minyak global tidak stabil.

 

CIMB Securities turut menyatakan, walaupun Malaysia mendapat manfaat sebagai pengeksport minyak, sistem subsidi sedia ada terutamanya untuk RON95 boleh mengurangkan keuntungan dan menambah tekanan kepada belanjawan negara.

 

Ketika ini, kerajaan sedang mengkaji pelaksanaan subsidi bersasar termasuk bagi petrol RON95, tetapi masih belum memutuskan tarikh pelaksanaan. - DagangNews.com