Haily Group raih kontrak bernilai RM49 juta bina 222 unit rumah teres di Johor | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Haily Group raih kontrak bernilai RM49 juta bina 222 unit rumah teres di Johor

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Nov – Haily Group Berhad melalui anak syarikat milik penuhnya, Haily Construction Sdn. Bhd menerima surat anugerah daripada Meridin East Sdn. Bhd untuk projek pembinaan 222 unit rumah teres dua tingkat di Taman Bestari Perdana, Mukim Plentong, Johor Bahru.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Haily berkata, jumlah kontrak bagi projek itu adalah RM49 juta yang merangkumi pembinaan dua fasa projek termasuk rumah teres Jenis A dan B, stesen sub-TNB serta rumah contoh.

 

“Projek ini dikenali sebagai Meridin East – Parcel 1A. Fasa pertama melibatkan 107 unit rumah teres, satu stesen sub-TNB dan dua unit rumah contoh, manakala fasa kedua merangkumi 111 unit rumah teres Jenis B.

 

“Kontrak ini adalah harga tetap dan tidak tertakluk kepada sebarang perubahan kos. 

 

“Haily Construction turut diperuntukkan sejumlah RM132,000 untuk pematuhan prosedur Quality Assurance dan Inspection yang akan dibayar secara progresif apabila syarikat memenuhi keperluan arkitek dan majikan,” kata Haily dalam makluman itu.

 

Tempoh siap kerja fasa pertama adalah 15 bulan bagi rumah teres, enam bulan bagi stesen sub-TNB dan empat bulan bagi rumah contoh manakala fasa kedua dijangka siap dalam tempoh 15 bulan dari tarikh mula.

 

Majikan berhak menangguhkan tarikh mula fasa kedua sehingga empat bulan tanpa sebarang tuntutan tambahan daripada Haily Construction.

 

Haily berkata, tempoh liabiliti kecacatan ditetapkan selama 27 bulan dari tarikh penyerahan dan perakuan siap kerja (Certificate of Practical Completion).

 

Penalti harian bagi kelewatan siap ditetapkan sehingga RM21,000 sehari untuk rumah teres, RM2,000 sehari untuk stesen sub-TNB, dan RM1,800 sehari bagi rumah contoh.

 

Lembaga Pengarah Haily Group berkata, projek ini dijangka menyumbang positif kepada pendapatan dan aset bersih syarikat sepanjang tempoh pelaksanaan projek, dengan risiko operasi yang dijangka adalah biasa bagi projek pembinaan. 

 

Tiada pengarah atau pemegang saham utama mempunyai kepentingan dalam projek ini. - DagangNews.com