Green Packet cadang pengurangan modal saham imbangi kerugian terkumpul RM340 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Green Packet cadang pengurangan modal saham imbangi kerugian terkumpul RM340 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Mei — Green Packet Berhad bercadang mengurangkan modal saham syarikat bagi mengimbangi kerugian terkumpul yang telah mencecah sebanyak RM339.28 juta setakat 31 Disember 2024.


Firma teknologi itu berkata, berikutan cadangan tersebut, kumpulan berkenaan dijangka melaporkan pendapatan tertahan sebanyak RM572,000.


Ia ditubuhkan pada tahun 2000 itu, merekodkan kerugian tahunan secara berturut-turut sejak 2017 dan bagi sembilan bulan terkumpul berakhir 31 Disember 2024, syarikat sudah kerugian bersih RM12 juta atas hasil RM413.43 juta.


"Modal saham terbitan syarikat setakat 18 April 2025, berjumlah RM395.03 juta, yang terdiri daripada sebanyak 2.38 bilion saham biasa, termasuk 7.71 juta saham perbendaharaan," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia.


Pada Januari 2025, pihak bursa telah meluluskan cadangan penempatan persendirian 30 peratus untuk membolehkan penerbitan sehingga 598.48 juta saham baharu.


Sebanyak 381.41 juta saham telah diterbitkan setakat ini, yang menjadikan sejumlah 217.07 juta saham tersedia untuk penempatan sebelum tarikh akhir pada 28 Julai 2025.


Green Packet turut menggariskan dua situasi pengurangan modal dengan senario minimum apabila tiada saham tambahan diterbitkan dan saham perbendaharaan tidak dijual semula manakala modal saham dikurangkan kepada RM42.81 juta.


"Sementara itu untuk senario maksimum, kesemua baki saham penempatan diterbitkan dan saham perbendaharaan dijual semula, manakala modal saham akan dikurangkan kepada RM59.92 juta," katanya dalam makluman tersebut.


Firma itu berkata, langkah tersebut dijangka membantu merasionalkan kedudukan kewangannya dengan mengurangkan kerugian terkumpul melalui pembatalan modal saham terbitan, serta diselaraskan mengikut nilai aset asas dan kewangannya.


Keadaan itu seterusnya kata Green Packet, dijangka dapat meningkatkan kredibiliti firma berkenaan dengan jurubank, serta pelanggan, pembekal dan pelabur dengan membentangkan kedudukan kewangan yang lebih stabil.


Di peringkat syarikat pula, ia turut mencatatkan kerugian terkumpul sebanyak RM231.87 juta untuk tempoh 9MFY25, yang akan ditukar kepada pendapatan tertahan sebanyak RM107.99 juta selepas pelaksanaan. - DagangNews.com