Gelombang kedua pembangunan pusat data dijangka lebih agresif - CGS International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gelombang kedua pembangunan pusat data dijangka lebih agresif - CGS International

Gambar Hiasan. Kampus Pusat Data 150MW JH1 milik Princeton Digital Group di Sedenak Tech Park, Johor. Gambar FB Datuk Onn Hafiz Ghazi
Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 9 Feb — Gelombang kedua pembangunan pusat data (DC) di Malaysia dijangka menjadi lebih agresif, didorong oleh kebimbangan pemain hiperskala global untuk tidak ketinggalan dalam perlumbaan kecerdasan buatan (AI), sekali gus membuka peluang besar kepada kontraktor tempatan, kata CGS International (CGSI).

 

Firma penyelidikan itu berkata, hasil pertemuan dengan kontraktor, perunding dan subkontraktor dalam rantaian nilai DC pada Januari dan Februari 2026 menunjukkan pemain industri kini memasuki fasa kedua pelaksanaan DC di Malaysia, dengan momentum yang lebih pantas berbanding fasa awal.

 

Keyakinan terhadap pertumbuhan sektor ini turut disokong oleh peralihan pendekatan kerajaan dalam mengurus sumber kritikal seperti elektrik dan air bagi memastikan pembangunan DC yang lebih mampan, selain peningkatan ketara dalam buku tender DC dan peluasan pangkalan pelanggan kontraktor.

 

Beberapa perkembangan utama turut mengukuhkan prospek sektor, termasuk pembukaan lebih banyak tender DC oleh Pearl Computing, termasuk di tanah miliknya di Bandar Springhill, aktiviti pengumpulan tanah oleh hiperskala Amerika Syarikat dan pemain DC dari China di Lembah Klang, serta pembukaan tender Microsoft di Johor selepas pembelian kira-kira 369 ekar tanah pada 2023 dan 2024.

 

Selain itu, permintaan berterusan terhadap perkhidmatan HSS Engineers yang kini terlibat dalam lapan projek DC (siap dan sedang berjalan) serta unjuran Mordor Intelligence yang menjangkakan pasaran DC Malaysia mencecah AS$13.6 bilion menjelang 2030 berbanding AS$5.5 bilion pada 2025, mengukuhkan lagi potensi sektor ini.

 

Dari segi kapasiti, beban IT dijangka meningkat daripada 1.5GW kepada 6.43GW, membayangkan saluran projek bernilai antara RM150 bilion hingga RM200 bilion.

 

Dalam kalangan kontraktor tersenarai, perhatian tertumpu kepada Gamuda Bhd, IJM Corp Bhd dan Sunway Construction Group Bhd (Suncon), khususnya melalui projek DC Pearl Computing yang mempunyai kehadiran lebih jelas di Malaysia dengan kira-kira 500 ekar tanah.

 

Anggaran industri menunjukkan nilai pembinaan keseluruhan, termasuk kerja mekanikal dan elektrikal (M&E), bagi 11 DC Pearl Computing mencecah RM24 bilion dan berpotensi dianugerahkan sepanjang CY26 hingga CY28.

 

Senario asas mengandaikan Gamuda memenangi lima DC, Suncon satu, manakala baki diberikan kepada kontraktor lain.

 

Bagaimanapun, Suncon dilihat sebagai penerima manfaat paling ketara sekiranya berjaya memenangi lebih banyak projek DC.

 

Dalam senario dua kemenangan DC, EPS FY26–FY27F Suncon berpotensi meningkat 10% hingga 15% dengan nilai saksama dianggarkan mencecah RM8, di samping mengukuhkan lagi kedudukannya dalam segmen DC.

 

Sebaliknya, impak kepada Gamuda dan IJM dijangka lebih terhad berikutan buku pesanan yang lebih pelbagai serta struktur perniagaan berbentuk konglomerat.

 

Prospek sektor DC juga dilihat terus melebar dengan kemunculan pemaju baharu seperti Stack Infrastructure dan Empyrion Digital, selain negeri-negeri baharu seperti Melaka yang mula muncul sebagai hab DC.

 

Suncon kekal sebagai pilihan utama DC dengan kira-kira 47% daripada buku pesanan RM6.4 bilion setakat Disember 2025 datang daripada projek DC, serta pendedahan kukuh di Lembah Klang dan Johor.

 

Kemenangan sulung projek DC Pearl Computing dijangka menjadi pemangkin penting kepada prestasi sahamnya.

 

Pada masa sama, potensi pengambilalihan IJM oleh Sunway dan siasatan berterusan oleh SPRM ke atas IJM dilihat boleh mewujudkan gangguan, sekali gus membuka peluang kepada kontraktor lain seperti Kerjaya Prospek, Binastra, Gadang, Mitrajaya dan WCT untuk memperkukuh kehadiran mereka dalam ruang DC.

 

Secara keseluruhan, sektor pembinaan DC kekal dinilai Overweight disokong oleh aliran projek yang jelas, walaupun risiko penurunan masih wujud sekiranya berlaku perubahan dasar kerajaan berkaitan pembangunan pusat data. - DagangNews.com