GE Aerospace perluas kapasiti penyelenggaraan enjin di Malaysia dan Singapura dengan pelaburan AS$75 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

GE Aerospace perluas kapasiti penyelenggaraan enjin di Malaysia dan Singapura dengan pelaburan AS$75 juta

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 3 Sept - GE Aerospace, pengeluar enjin jet global, akan melabur lebih daripada AS$75 juta (RM347.3 juta) bagi meningkatkan kapasiti penyelenggaraan dan pembaikan enjin di Malaysia dan Singapura menjelang akhir 2025.

 

Pelaburan ini adalah sebahagian daripada pelan pelaburan banyak tahun MRO (Maintenance, Repair and Overhaul) berjumlah AS$1 bilion yang diumumkan pada 2024, dengan tujuan memperkukuh keupayaan penyelenggaraan enjin di rantau Asia-Pasifik, yang dilihat sebagai pusat pertumbuhan jangka panjang industri penerbangan.

 

Di Malaysia, pelaburan tersebut akan memperluas operasi MRO di kemudahan utama GE Aerospace yang menghasilkan enjin CFM56 dan CFM LEAP di bawah usaha sama CFM International bersama Safran Aircraft Engines, kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

 

Kapasiti lawatan bengkel untuk enjin LEAP dijangka digandakan dalam tempoh tiga tahun akan datang, dengan kemudahan ujian enjin bertaraf dunia khusus untuk enjin LEAP 1A dan 1B akan diperkenalkan.

 

Sementara itu, di Singapura, pelaburan akan menumpukan kepada Seletar Aerospace Park, tapak penyelenggaraan komponen terbesar GE Aerospace di dunia yang mengurus lebih 60% daripada jumlah pembaikan global kumpulan itu.

 

Kemudahan ini akan ditransformasikan menjadi pusat penyelidikan teknologi pembaikan, dengan keupayaan baharu dalam pembuatan aditif, robotik, automasi dan digitalisasi. Projek peningkatan dijangka siap pada 2026.

 

Selain Malaysia dan Singapura, kemudahan On Wing Support di Korea Selatan juga akan menerima dana untuk menaik taraf teknologi dan keupayaan.

 

Secara keseluruhan, pelaburan ini akan digunakan untuk menambah sel ujian enjin, peralatan baru, serta teknologi canggih termasuk teknik pemeriksaan berasaskan AI bagi mengurangkan masa penyelenggaraan dan mengukuhkan keupayaan pembaikan komponen.

 

GE Aerospace kini mengendalikan kira-kira 49,000 enjin pesawat komersial dan 29,000 enjin tentera di seluruh dunia, dan pelaburan ini dijangka meningkatkan lagi peranan syarikat dalam pembangunan industri penerbangan serantau serta peluang pekerjaan dan kemahiran tenaga kerja tempatan. - DagangNews.com