Gamuda di landasan baik capai sasaran penambahan projek baharu sehingga RM45 bilion bagi FY25, kata CGS International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gamuda di landasan baik capai sasaran penambahan projek baharu sehingga RM45 bilion bagi FY25, kata CGS International

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 13 Jun - Kegagalan Gamuda Bhd memperoleh projek Suburban Rail Loop (SRL) di Australia tidak akan menjejaskan rancangannya untuk penambahan projek baharu bernilai antara RM40 bilion hingga RM45 bilion menjelang akhir tahun kewangan berakhir 31 Julai 2025 (FY25), kata CGS International.

 

Firma penyelidikan itu berkata, syarikat pembinaan dan kejuruteraan itu mempunyai buku tender bernilai RM24 bilion, termasuk bidaan untuk lima kontrak pembinaan pusat data menjadikan buku tempahan semasanya berada pada paras RM37 bilion.

 

“Walaupun tidak memenangi projek SRL, di mana bahagian Gamuda dianggarkan sekitar RM10 bilion, kami percaya mereka berpotensi mendapatkan projek lain untuk menggantikannya.

 

“Dalam taklimat penganalisis sebelum ini, Gamuda telah menyenaraikanprojek bernilai RM35 bilion dengan projek SRL merupakan satu daripadanya.

 

“Setakat ini, syarikat telah memenangi satu projek daripada senarai tersebut, iaitu kerja-kerja awal pusat data bernilai RM1 bilion untuk Pearl Computing,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Beberapa projek yang sedang dibida termasuk loji rawatan air di Sabah (bernilai RM4 bilion), kerja tambahan bagi projek transit aliran ringan (LRT) di Pulau Pinang yang dianggarkan bernilai RM3 bilion, projek transit rel massa di Taiwan (RM3 bilion), kerja-kerja stesen di Sydney/Melbourne (RM6 bilion), serta penglibatan awal kontraktor untuk projek tenaga boleh diperbaharui di Australia bernilai kira-kira RM2 bilion.

 

Gamuda dijangka membentangkan keputusan suku ketiga (3QFY25) pada 26 Jun ini, dan CGS International menjangkakan peningkatan dalam keuntungan bersih dengan lonjakan ketara dijangka berlaku dalam FY26 apabila projek pembinaan tempatan dan projek hartanah di Vietnam.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu mungkin tidak mencapai sasaran pra-jualan hartanah sebanyak RM6 bilion untuk FY25 memandangkan kelulusan untuk projeknya di Hanoi (Gamuda City) berjalan dengan perlahan.

 

“Memandangkan Gamuda telah menyasarkan RM840 juta pra-jualan daripada projek ini untuk FY25, kami percaya jumlah pra-jualan kumpulan bagi FY25 akan kekal mendatar secara tahunan (y-o-y) pada RM5 bilion.

 

"Satu lagi kebimbangan pelabur adalah pendedahan Gamuda terhadap pasaran hartanah Vietnam, di mana syarikat mempunyai lapan projek dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM18 bilion (29% daripada jumlah GDV setakat Jan 2025), iaitu tarif import AS yang boleh menjejaskan pelaburan asing dan sentimen,” katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "tambah" dengan harga sasaran RM6 sesaham walapun mengurangkan unjuran pendapatan terhadap syarikat itu. - DagangNews.com