FWD Takaful bayar zakat perniagaan hampir RM635,000 kepada Pusat Pungutan Zakat MAIWP | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FWD Takaful bayar zakat perniagaan hampir RM635,000 kepada Pusat Pungutan Zakat MAIWP

Pembayaran zakat ini merupakan zakat perniagaan rasmi pertama yang dilaksanakan oleh FWD Takaful sejak mula beroperasi dalam industri takaful di Malaysia pada tahun 2019
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 MeiFWD Takaful Berhad mengumumkan pembayaran zakat perniagaan berjumlah RM634,987.96 kepada Pusat Pungutan Zakat – MAIWP (PPZ-MAIWP) sebagai sebahagian daripada kewajipan kewangan Islam syarikat tersebut.

 

Pembayaran zakat ini merupakan zakat perniagaan rasmi pertama yang dilaksanakan oleh FWD Takaful sejak mula beroperasi dalam industri takaful di Malaysia pada tahun 2019.

 

Menurut syarikat, pelaksanaan zakat tersebut selaras dengan komitmen sebagai institusi kewangan Islam serta tanggungjawab terhadap amalan perniagaan beretika, tadbir urus yang baik dan tanggungjawab sosial korporat.

 

Dana zakat berkenaan akan disalurkan kepada golongan asnaf yang layak melalui pelbagai program kebajikan dan pembangunan yang dikendalikan oleh PPZ-MAIWP.

 

FWD Takaful berkata pembayaran zakat ini juga mencerminkan peranan institusi kewangan Islam dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.

 

Majlis penyerahan cek replika zakat tersebut telah disempurnakan oleh Ahli Jawatankuasa Syariah FWD Takaful, Ismail Nik kepada Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP, Azrin Datuk Abdul Manan.

 

Penyerahan itu melambangkan pemenuhan kewajipan zakat syarikat selaras dengan mandat pemegang saham, Lembaga Pengarah serta Jawatankuasa Syariah FWD Takaful.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FWD Takaful, Aman Chowla berkata pembayaran zakat tersebut merupakan satu amanah yang perlu dilaksanakan oleh institusi kewangan Islam.

 

“Penyerahan zakat itu mencerminkan komitmen syarikat terhadap integriti, keprihatinan serta tujuan perniagaan yang jelas, selain memastikan nilai tanggungjawab sosial terus diperkukuh.

 

“Zakat juga merupakan mekanisme penting dalam memperkasa masyarakat serta membantu meningkatkan kesejahteraan golongan asnaf,” katanya.

 

FWD Takaful mula beroperasi di Malaysia pada tahun 2019 dan sejak itu telah berkembang secara pesat serta mencatat peningkatan kedudukan dalam industri takaful keluarga.

 

Syarikat itu meningkat daripada kedudukan ke-10 pada tahun 2019 kepada kedudukan ke-5 pada suku pertama tahun 2026, berdasarkan prestasi industri takaful keluarga di Malaysia.

 

Walaupun industri takaful keluarga berdepan cabaran pada tahun 2025, FWD Takaful berjaya mengekalkan prestasi kukuh melalui fokus terhadap pertumbuhan inklusif dan impak sosial.

 

FWD Takaful turut menegaskan komitmennya untuk menjadikan pembayaran zakat sebagai amalan tahunan berterusan dalam operasi syarikat pada masa akan datang.

 

Untuk rekod, FWD Takaful Berhad merupakan anak syarikat kepada FWD Malaysia Holdings Sdn Bhd (FWD Malaysia) yang sebahagiannya dimiliki oleh Kumpulan FWD (1828.HK), sebuah perniagaan insurans hayat dan kesihatan pan-Asia yang berkhidmat kepada lebih 40 juta pelanggan di 10 pasaran.

 

Kumpulan FWD ditubuhkan pada tahun 2013 dan disenaraikan di Papan Utama Bursa Saham Hong Kong di bawah kod saham 1828.

 

FWD Takaful Berhad merupakan pengendali takaful di Malaysia yang menawarkan pelbagai produk takaful keluarga termasuk perlindungan perubatan dan penyakit kritikal, pelan simpanan serta pelan berkaitan pelaburan.

 

Syarikat ini dikawal selia oleh Bank Negara Malaysia di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013. - DagangNews.com