KUALA LUMPUR 22 Jan – Fraser & Neave Holdings Bhd (F&NHB) mencatatkan hasil sebanyak RM5.2 bilion bagi tahun kewangan berakhir 30 September 2025 (FY2025), disokong oleh kos input yang lebih rendah dan disiplin operasi yang kukuh, sekali gus menyumbang kepada peningkatan keuntungan operasi Kumpulan sebanyak 5.1% dan keuntungan sebelum cukai sebanyak 4.8%.
Ketua Pegawai Eksekutif F&NHB, Lim Yew Hoe, berkata prestasi tersebut dicapai walaupun Kumpulan melaksanakan pelaburan permulaan berskala besar di F&N AgriValley, dengan sumbangan kukuh daripada perniagaan sedia ada berjaya mengimbangi kesan pelaburan tersebut.
“FY2025 merupakan fasa penting dalam perjalanan pertumbuhan F&NHB apabila kami memperkukuh komitmen untuk menyampaikan lebih nilai, lebih inovasi dan impak positif yang lebih besar kepada semua pihak berkepentingan, di samping memacu kelestarian jangka panjang perniagaan,” katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
Menurut beliau, kemajuan strategik sepanjang FY2025 telah mengukuhkan daya tahan operasi teras Kumpulan, dengan beberapa inisiatif utama mula memberikan hasil.
Antara pencapaian utama ialah loji baharu F&N Beverages di Butterworth yang mula beroperasi pada Ogos 2025, menghasilkan air minuman dan minuman berkarbonat untuk pasaran utara Semenanjung Malaysia.
Kemudahan ini mengurangkan kebergantungan kepada loji Shah Alam serta menurunkan kos logistik dan pelepasan karbon, di samping meningkatkan kecekapan rantaian bekalan.
Di samping itu, F&N AgriValley, ladang tenusu bersepadu Kumpulan, mula mencatat pengeluaran susu dan penuaian tanaman pada FY2025, sekali gus meningkatkan keupayaan F&NHB membekalkan susu segar berkualiti tinggi pada harga yang kompetitif. Sebahagian susu tersebut turut digunakan dalam pengeluaran Susu Steril BEAR BRAND, menyokong pengembangan eksport ke Kemboja dan pasaran serantau lain.
Pembinaan kemudahan F&N Foods (Cambodia) Co., Ltd. pula berada di landasan untuk disiapkan menjelang Mac 2026 dan dijangka membolehkan pengeluaran setempat susu pekat manis dan susu sejat bagi pasaran Indochina, sekali gus meningkatkan daya saing kos dan kebolehskalaan operasi serantau.
Sejajar dengan prestasi kewangan yang kukuh, Lembaga Pengarah F&NHB mengesyorkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 35 sen sesaham bagi FY2025, menjadikan jumlah dividen tahunan 65 sen sesaham, melibatkan agihan keseluruhan RM238.4 juta. Dividen akhir dijadualkan dibayar pada 10 Februari 2026.
Mengulas prospek FY2026, Lim berkata F&NHB kekal optimis walaupun berdepan ketidaktentuan geopolitik dan tekanan makroekonomi global, disokong oleh kedudukan kewangan yang kukuh, aliran tunai sihat dan pengurusan kos berdisiplin.
“Kami akan terus menumpukan kepada inovasi produk termasuk minuman tanpa gula dan susu berasaskan tumbuhan, di samping mempercepatkan pertumbuhan pegangan pasaran dan memastikan kesinambungan bekalan di Indochina,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi F&NHB, YAM Tengku Syed Badarudin Jamalullail, berkata Kumpulan kekal komited terhadap amalan kelestarian dan tanggungjawab sosial korporat, termasuk pelaksanaan tenaga solar yang kini menjana lebih 19 juta kWh tenaga bersih setahun di Malaysia dan Thailand.
Usaha tersebut telah membuahkan pengiktirafan industri, antaranya Anugerah Emas di The Edge ESG Awards 2025, ASEAN Halal Brand Award 2025, serta penyenaraian dalam 10 syarikat minuman global teratas oleh S&P Global Corporate Sustainability Assessment 2025. - DagangNews.com








