KUALA LUMPUR 22 Mei – Focus Point Holdings Berhad memulakan FY26 dengan mencatat kenaikan keuntungan bersih sebanyak 16% kepada RM9.2 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026.
Menurut kumpulan tersebut, peningkatan keuntungan daripada RM7.9 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya itu didorong terutama oleh sumbangan pendapatan lebih tinggi daripada segmen optikal.
Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia, syarikat berkenaan berkata, pendapatan kumpulan meningkat kira-kira 6% kepada RM77.3 juta berbanding sebanyak RM72.9 juta dicatatkan pada suku pertama 2025.
"Segmen optikal merekodkan pertambahan hasil kira-kira 9% kepada RM66.8 juta, manakala keuntungan sebelum cukai (PBT) meningkat 9% kepada RM12.7 juta hasil jualan lebih baik," kata Focus Point.
Sementara segmen makanan dan minuman (F&B) berjaya mencapai titik pulang modal dengan mencatatkan PBT sebanyak RM8,000 berbanding kerugian sebelum cukai (LBT) kira-kira RM0.7 juta sebelum ini.
Pendapatan segmen itu jelasnya, namun susut kira-kira 12% kepada RM9.6 juta, dengan pencapaian pada tempoh tiga bulan tersebut disumbangkan menerusi perbelanjaan operasi yang lebih rendah.
Justeru, Focus Point mengisytiharkan dividen interim satu peringkat pertama sebanyak 0.75 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026, yang akan dibayar pada 26 Jun 2026.
"Mengenai prospek masa depan, kumpulan ini masih lagi kekal optimis terhadap pertumbuhan ekonomi domestik yang diunjurkan berkembang antara kira-kira 4% hingga 5% sepanjang tahun ini," katanya.
Bagi mengekalkan kedudukan sebagai peneraju pasaran, kumpulan akan terus memperluas rangkaian cawangan di lokasi strategik, dan melabur dalam peralatan penjagaan mata primer yang canggih.
Pada masa sama, Focus Point berhasrat untuk mempertingkatkan lagi tahap kecekapan operasi bagi segmen F&B untuk menarik lebih ramai pelanggan korporat. - DagangNews.com








