KUALA LUMPUR 29 April — Fraser & Neave Holdings Berhad (F&N) diyakini mampu mencatatkan keputusan kewangan yang kukuh pada tempoh separuh pertama 2025 (1HFY25), kata MIDF Research.
Firma penyelidikan itu berkata, unjuran tersebut disokong permintaan domestik yang berdaya tahan serta eksport lebih teguh walaupun jualan perayaan adalah lemah akibat bencana banjir di Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun ia berkata, keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (PATANCI) syarikat itu adalah sederhana disebabkan kos permulaan dari ladang tenusu AgriValley di Gemas, Negeri Sembilan.
"Kami mengekalkan ramalan pendapatan kerana sejajar dengan jangkaan dan mengekalkan harga sasaran iaitu RM32.68, yang disandarkan kepada perolehan sesaham FY25 sebanyak 163.4 sen," katanya dalam satu nota kajian.
MIDF Research merujuk laporan hasil 2QFY25 yang susut sedikit sebanyak 1.4 peratus tahun ke tahun (yoy) kepada RM1.33 bilion, kerana momentum jualan musim perayaan terganggu oleh isu banjir teruk di beberapa negeri.
Sementara itu katanya, pendapatan F&N di pasaran Thailand juga berkurangan sebanyak 2.2 peratus yoy pada 2QFY25, disebabkan oleh inisiatif proaktif negara tersebut mengekalkan tahap inventori pengedar yang sihat.
Firma tersebut berkata, keadaan berkenaan sebahagiannya diimbangi jualan eksport yang lebih kukuh ke Kemboja dan Laos, dengan disokong permintaan stabil serta bekalan susu segar mencukupi sepanjang tempoh itu.
"Secara kumulatif, hasil 1HFY25 meningkat 2.7 peratus yoy kepada RM2.72 bilion, dipacu penggunaan domestik berdaya tahan, pertumbuhan jualan menyeluruh 1QFY25, dan pengukuhan momentum eksport serantau," katanya.
Selain itu, MIDF Research optimis terhadap prospek pertumbuhan F&N, disokong oleh pertahanan pendapatan yang teguh dan asas pengguna berdaya kukuh serta terus mengekalkan saranan "beli".
Permintaan produk makanan dan minuman adalah penting kekal stabil walaupun terdapat tekanan inflasi serta ketidaktentuan makro global, di samping mengukuhkan kedudukan F&N sebagai ruji pengguna boleh dipercayai.
Kumpulan itu katanya, terus mendapat manfaat daripada permintaan teguh untuk minuman sedia diminum serta pemulihan dalam pelancongan di seluruh Malaysia dan Thailand, yang menyokong trend penggunaan di luar rumah.
Dalam jangka panjang, pertumbuhan akan disokong oleh ladang tenusu bersepadunya di Gemas, yang mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan serta membolehkan F&N merebut peluang pasaran susu segar Malaysia. - DagangNews.com








