KUALA LUMPUR 3 Julai - FGV Holdings Bhd menerima kelulusan daripada pemegang saham untuk memperoleh baki kepentingan dalam lapan anak syarikat daripada Koperasi Permodalan Felda Malaysia Bhd (KPF) bernilai RM229.8 juta bagi menyusun semula struktur korporatnya.
Kelulusan itu telah diberikan semasa Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) syarikat yang diadakan selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-17 pada 26 Jun lalu.
FGV berkata, FGV Palm Industries Sdn Bhd, anak syarikat tidak langsung yang dimiliki sebanyak 72%, akan memperoleh baki kepentingan dalam tiga anak syarikat daripada KPF dengan nilai RM54.7 juta, manakala Felda Holdings Bhd, anak syarikat milik penuh, akan memperoleh baki kepentingan dalam lima anak syarikat dengan nilai RM175.1 juta.
“Langkah strategik ini bertujuan menyusun semula struktur korporat FGV, meningkatkan kecekapan dalam membuat keputusan, dan memastikan penjajaran yang lebih kukuh dengan keutamaan strategik kumpulan.
“Dengan pemilikan penuh, FGV akan lebih bersedia untuk memacu prestasi dan mempercepatkan pelaksanaan dalam perniagaan terasnya,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, FGV berkata, ia mencatatkan peningkatan hasil sebanyak 14% kepada RM22.16 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember (FY), dengan keuntungan bersih sebanyak RM276 juta, disokong oleh kecekapan operasi dan margin yang lebih baik.
Pengerusi FGV, Tan Sri Rastam Mohd Isa berkata, tahun lalu merupakan tempoh kemajuan operasi yang kukuh bagi kumpulan.
“Walaupun berdepan dengan ketidaktentuan ekonomi global, ketegangan geopolitik dan cabaran alam sekitar, FGV kekal berdaya tahan dan tangkas, muncul lebih kuat dan lebih fokus dengan mengubah cabaran menjadi peluang,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV, Fakhrunniam Othman berkata, kumpulan itu kekal berhati-hati dalam mengharungi persekitaran global yang tidak menentu akibat ketegangan perdagangan dan ketidakstabilan pasaran.
“Kami sedang mempertingkatkan fokus terhadap kecemerlangan operasi, kerjasama dengan pihak berkepentingan, produk bernilai tinggi dan teknologi canggih bagi memastikan FGV kekal berdaya tahan dan bersedia untuk masa depan,” katanya. - DagangNews.com








