KUALA LUMPUR 22 Ogos – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini mengeluarkan notis kepada pemegang saham minoriti FGV Holdings Bhd susulan kejayaan melengkapkan tawaran pengambilalihan tanpa syarat pada 15 Ogos lalu, yang menyaksikan pegangan Felda meningkat kepada 94.97%.
Menurut Felda, notis yang dikeluarkan di bawah Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 itu memberikan hak kepada pemegang saham minoriti untuk menuntut Felda membeli pegangan mereka pada terma sama dengan tawaran asal, iaitu RM1.30 sesaham, atau pada terma yang dipersetujui bersama.
Pemegang saham minoriti mempunyai tempoh sehingga 15 Januari 2026 – tidak kurang daripada tiga bulan selepas tarikh tutup akhir – untuk menggunakan hak tersebut.
Notis berkenaan telah difailkan secara rasmi hari ini melalui Maybank Investment Bank Bhd, selaku penasihat utama Felda.
Tawaran Felda yang ditutup pada 15 Ogos 2025 menyaksikan Felda bersama pihak-pihak yang bertindak secara sepakat (PAC) menguasai 3.46 bilion saham FGV.
Daripada jumlah itu, sebanyak 193.02 juta saham (5.29%) diterima melalui tawaran rasmi, manakala 81.11 juta saham (2.22%) diperoleh di luar penerimaan tawaran.
Sehubungan itu, dagangan saham FGV telah digantung bermula hari ini, iaitu lima hari pasaran selepas tarikh tutup akhir, dan kaunter tersebut akan dinyahsenarai daripada senarai rasmi memandangkan Felda tidak berhasrat mengekalkan status penyenaraiannya.
Langkah ini menandakan kemuncak usaha bertahun-tahun Felda untuk menyatukan pemilikan penuh FGV, selepas syarikat perladangan itu disenaraikan pada 2012 dalam salah satu tawaran awam permulaan (IPO) terbesar dunia ketika itu. - DagangNews.com








