KUALA LUMPUR 18 Ogos – Felcra Berhad mencatat keuntungan sebanyak RM178 juta sehingga April 2025, meningkat berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM101 juta akan diagihkan kepada 74,300 peserta di seluruh negara secara berperingkat bermula semalam.
“Saya mengucapkan tahniah kepada Felcra Berhad kerana berjaya mengekalkan prestasi kukuh dengan peningkatan hampir RM2 juta berbanding tahun lalu.
“Saya juga akan memantau sendiri proses pengagihan keuntungan ini kepada semua peserta di seluruh negara,” katanya semasa Majlis Pengisytiharan Keuntungan Boleh Agih Interim Pertama Projek Peserta Felcra Berhad Tahun 2025 di Pasir Salak.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra Berhad, Datuk Idris Lasim.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah berkata, Felcra terus mencipta sejarah dalam memperkukuh keselamatan makanan negara melalui pengkomersialan padi wangi tempatan, MRQ 107 – varieti beras wangi tempatan berkualiti tinggi sebagai alternatif kepada beras wangi import.
Menurutnya, kawasan Seberang Perak yang melibatkan lebih 3,400 hektar dan diusahakan menggunakan kaedah moden oleh Felcra telah menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan purata hasil mencapai lapan tan metrik sehektar setahun.
“Kita jangka pengeluaran melebihi 27,000 tan metrik padi atau lebih 16,000 tan metrik beras setahun – mencukupi untuk memenuhi keperluan ribuan isi rumah. Mudah-mudahan ini menjadi contoh kepada pesawah lain,” katanya.
Sementara itu, Datuk Idris berkata, prestasi agihan interim pertama bagi tahun 2025 dipengaruhi oleh beberapa faktor utama termasuk pengurusan ladang yang cekap serta pelaksanaan langkah penjimatan kos.
“Melalui pendekatan berkesan dalam penggunaan baja, racun perosak dan input ladang, kos operasi berjaya dikurangkan sebanyak 15 peratus manakala hasil sehektar meningkat sebanyak 49 peratus,” ujarnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa projek kelapa sawit Felcra mencatatkan peningkatan purata keuntungan bersih sebanyak 81 peratus.
Jelasnya lagi, walaupun kadar agihan keuntungan dipengaruhi oleh trend harga minyak sawit mentah, peningkatan prestasi ladang kekal sebagai faktor penentu utama. - DagangNews.com








