KUALA LUMPUR 18 Jun - Pertumbuhan Farm Price Holdings Bhd dijangka terus disokong oleh pelaksanaan Pusat Pengedaran Berpusat (CDC) Senai yang kini menghampiri fasa operasi, namun Public Invest Research (PublicInvest) kekal berhati-hati terhadap prospek pendapatan kumpulan sehingga fasiliti itu mencapai kadar penggunaan optimum.
Firma penyelidikan itu berkata, CDC Senai menjadi pemangkin utama pertumbuhan jangka sederhana Farm Price, khususnya dalam memperkukuh kapasiti logistik dan memperluas operasi eksport ke Singapura yang kini menjadi penyumbang margin utama kumpulan.
Bagaimanapun, firma itu mengekalkan unjuran pendapatan sedia ada kerana perkembangan semasa masih sejajar dengan jangkaan, selain mengekalkan saranan “Outperform” dengan harga sasaran RM0.37 sesaham berdasarkan gandaan harga kepada pendapatan (PE) 15 kali bagi tahun kewangan 2027 (FY27F).
Katanya, walaupun prospek pertumbuhan kekal positif, terdapat beberapa risiko yang perlu diberi perhatian termasuk kelewatan pelaksanaan projek, kadar pengambilan pelanggan baharu yang lebih perlahan daripada jangkaan serta peningkatan kos operasi dan pembiayaan.
“Pandangan berhati-hati terhadap pertumbuhan pendapatan masih dikekalkan sehingga CDC Senai beroperasi sepenuhnya dan kadar penggunaan kapasiti meningkat secara berperingkat,” katanya firma itu dalam nota kajian hari ini..
CDC Senai yang sebelum ini disasarkan memulakan operasi pada suku pertama FY26 kini dijangka mula beroperasi pada suku keempat FY26 selepas pembinaannya siap, namun masih menunggu pemeriksaan keselamatan kebakaran, kelulusan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (CCC) serta beberapa kerja pengubahsuaian kecil.
Apabila beroperasi kelak, keluasan binaan CDC Senai akan meningkat kepada 150,000 kaki persegi berbanding 79,000 kaki persegi sebelum ini, manakala kapasiti palet tahunan dijangka bertambah kepada 55,000 daripada 29,669 palet.
Selain itu, kemudahan baharu tersebut mampu menampung sehingga 90 kontena pada satu-satu masa, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada penyedia storan sejuk pihak ketiga dan meningkatkan kecekapan rantaian bekalan kumpulan.
Walau bagaimanapun, pengurusan menjangkakan kadar penggunaan kemudahan itu akan meningkat secara berperingkat dalam tempoh satu hingga dua tahun selepas operasi bermula.
Pasaran Singapura
Dalam masa sama, Singapura terus muncul sebagai pasaran paling penting kepada Farm Price dari segi keuntungan apabila sumbangannya kepada hasil kumpulan meningkat kepada hampir 40% pada suku pertama FY26 berbanding 29% pada tempoh sama tahun lalu.
Pengurusan menyasarkan sumbangan pasaran republik itu meningkat kepada 50% daripada hasil kumpulan pada FY26 dan seterusnya 60% pada FY27, didorong oleh kapasiti CDC yang lebih besar serta permintaan kukuh terhadap produk sayur-sayuran segar dan produk pra-bungkus bernilai tambah.
Firma penyelidikan itu berpandangan sasaran tersebut berpotensi dicapai, namun kejayaannya bergantung kepada kemampuan Farm Price mendapatkan pelanggan baharu serta memastikan operasi CDC Senai dilaksanakan mengikut jadual.
“Keupayaan kumpulan memanfaatkan kapasiti tambahan dan memperkukuh kedudukan dalam pasaran Singapura akan menjadi faktor utama yang menentukan trajektori pertumbuhan pendapatan dalam tempoh beberapa tahun akan datang,” katanya. - DagangNews.com








