KUALA LUMPUR 26 Jun – EWI Capital Bhd kembali mencatatkan kerugian pada suku kedua berakhir 30 April 2026 (2QFY2026) apabila merekodkan kerugian bersih sebanyak RM30.86 juta berbanding keuntungan bersih RM2.28 juta yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun lalu, susulan peningkatan caj susut nilai.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat yang sebelum ini dikenali sebagai Eco World International Bhd itu berkata, keputusan tersebut turut menandakan kerugian suku tahunan keempat berturut-turut, manakala tiada sebarang hasil direkodkan bagi tempoh berkenaan.
Prestasi kewangan kumpulan terjejas selepas ia mengiktiraf kerugian susut nilai sebanyak RM13.75 juta ke atas kumpulan pelupusan yang dipegang untuk jualan membabitkan unitnya di Australia yang memiliki tapak Macquarie Park.
Selain itu, kumpulan turut merekodkan kerugian susut nilai sebanyak RM7.99 juta ke atas jumlah yang terhutang oleh EWL Living.
Mengenai prospek, EWI Capital berkata, pasaran kediaman di London masih berdepan cabaran apabila harga rumah terus menyusut, manakala kos pembinaan kekal tinggi, sekali gus memberi tekanan kepada margin pembangunan.
Kata kenyataan itu, daripada empat projek yang masih berada dalam portfolio kumpulan di United Kingdom, tapak Griffin Park di Kew Bridge telah memperoleh kelulusan perancangan, manakala tapak Duffy dijangka menerima kelulusan menjelang penghujung 2026.
"Lembaga pengarah kini sedang menilai kebolehlaksanaan untuk meneruskan pembangunan Griffin Park di samping meneroka pilihan pelupusan bagi mempercepatkan proses pengewangan aset," katanya.
Bagi operasi di Australia pula, EWI Capital melihat prospek pasaran pejabat utama di kawasan pusat perniagaan (CBD) lebih memberangsangkan walaupun masih berdepan tekanan jangka pendek akibat kadar faedah yang tinggi.
Kumpulan itu turut memaklumkan telah melengkapkan langganan pelaburan dalam TrustCapital Australian Office Fund No. 3 pada suku kedua 2026 dan menjangkakan ia akan mula menjana pendapatan dalam masa terdekat selepas selesai memperoleh aset komersial di Melbourne pada Mei 2026.
Dalam perkembangan berasingan, EWI Capital mengumumkan pelantikan Tee Kim Xiong sebagai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, berkuat kuasa 26 Jun 2026.
Menurut syarikat itu, Kim Xiong mempunyai pengalaman luas dalam bidang perbankan korporat dan pelaburan termasuk hampir 15 tahun bersama CIMB Bank, selain pernah mengetuai sebuah syarikat pengurusan aset hartanah swasta sebagai Ketua Pegawai Eksekutif sebelum menyertai EWI Capital. - DagangNews.com








