Eversendai Offshore mulakan kerja fabrikasi projek LanWin2 di UAE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eversendai Offshore mulakan kerja fabrikasi projek LanWin2 di UAE

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 23 Okt – Eversendai Offshore, anak syarikat milik penuh Eversendai Corporation Bhd, telah memulakan kerja-kerja fabrikasi bagi projek LanWin2, sekali gus menandakan kemajuan penting dalam portfolionya dalam sektor tenaga boleh diperbaharui luar pesisir.

 

Projek LanWin2 ialah satu sistem sambungan grid luar pesisir (offshore grid-connection) di Jerman yang dikendalikan oleh TenneT. Ia adalah sebahagian daripada program 2 gigawatt (2 GW) bagi platform penukaran arus tinggi tegangan (HVDC) yang dibangunkan untuk memindahkan tenaga angin dari ladang angin di Laut Utara Jerman ke daratan.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, projek tersebut diperoleh daripada Dragados Offshore, Sepanyol, bersama dua lagi projek iaitu BalWin3 dan LanWin4, pada awal tahun ini.

 

Menurut kenyataan itu, majlis pemotongan keluli pertama (First Steel Cut Ceremony) bagi projek LanWin2 itu dilaksanakan di fasiliti tepi laut milik Eversendai di Ras Al Khaimah, Emiriah Arab Bersatu, pada 18 September lalu.

 

Majlis tersebut turut disertai rakan strategik Eversendai Offshore iaitu TenneT, Dragados Offshore dan Siemens Energy.

 

Pemotongan keluli pertama itu menandakan permulaan kerja pembuatan blok keluli bagi bahagian timur yang merupakan sebahagian daripada inisiatif peralihan tenaga boleh diperbaharui Jerman, di bawah rancangan negara itu untuk memperluas sambungan grid luar pesisirnya.

 

Sebagai pakar struktur keluli global, Eversendai menjelaskan bahawa skop kontrak meliputi perolehan, kejuruteraan, fabrikasi, pembinaan, kerja mengecat serta pemuatan blok (loadout) bagi platform penukar tenaga luar pesisir berkapasiti 2 gigawatt (GW) untuk rangkaian grid luar pesisir TenneT Germany.

 

“Eversendai komited melaksanakan projek ini dengan piawaian tertinggi dari segi kualiti dan keselamatan, selain berhasrat memperkukuh kedudukan syarikat dalam sektor tenaga boleh diperbaharui luar pesisir di peringkat global,” kata syarikat itu. - DagangNews.com