Enam persatuan perniagaan desak kerajaan tangguh peluasan SST | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Enam persatuan perniagaan desak kerajaan tangguh peluasan SST

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 17 Jun - Enam persatuan perniagaan menggesa kerajaan menangguhkan pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), khususnya terhadap perkhidmatan sewaan dan pajakan komersial yang dikenakan pada kadar 8%.

 

Persatuan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), Persatuan Rantaian Peruncit Malaysia (MRCA), Persatuan Peruncit Malaysia (MRA), Pertubuhan Peruncit Bumiputera (BRO), Persatuan Pusat Beli-Belah Malaysia (PPKM), dan Gabungan Persatuan-Persatuan Perniagaan Malaysia (FMBA) menyuarakan bantahan tegas terhadap peluasan skop SST.

 

"Perniagaan sedang berdepan tekanan kos yang tinggi. Cadangan SST ke atas sewaan dan pajakan hanya akan menambah beban, terutama kepada PKS dan peruncit, sekali gus menyebabkan kos dipindahkan kepada pengguna dan mendorong kenaikan harga," menurut kenyataan bersama itu.

 

Situasi itu dijangka menjejaskan daya tahan sektor runcit sehingga menyebabkan perniagaan ditutup, sekali gus membawa kepada kehilangan pekerjaan secara besar-besaran dan melemahkan ekonomi domestik.

 

Enam persatuan itu turut mempersoalkan keberkesanan sistem SST berbanding GST yang mempunyai ciri kredit cukai input, dengan ketiadaan ciri tersebut menyebabkan cukai berlapis sepanjang rantaian bekalan.

 

"Walaupun kami tidak menentang keputusan kerajaan untuk mengekalkan SST, adalah penting untuk pembuat dasar mempertimbangkan beban sebenar yang ditanggung oleh perniagaan dan melaksanakan pendekatan lebih inklusif melalui rundingan yang telus," katanya.

 

Sehubungan itu, persatuan terbabit menggesa kerajaan menangguhkan peluasan SST sehingga ekonomi negara kembali stabil.

 

Antara cadangan lain termasuk menurunkan kadar cukai di bawah 8%, pengecualian kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), serta menawarkan bantuan bersasar kepada sektor strategik seperti runcit dan logistik.

 

Mereka turut menekankan keperluan rundingan bersama industri sebelum pelaksanaan sebarang cukai baharu diperkenalkan.- DagangNews.com