EMKAY jual Tower 2 Mercu Mustapha Kamal bermula pada harga RM12.73 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

EMKAY jual Tower 2 Mercu Mustapha Kamal bermula pada harga RM12.73 juta

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 8 Mei — EMKAY Group mengubah strategi jualannya untuk Tower 2 Mercu Mustapha Kamal, yang merupakan menara pejabat, daripada model secara en-bloc kepada pendekatan pemilikan lantai berstrata menerusi kerjasama dengan empat agensi hartanah.


Ia melibatkan firma IPVS Real Estate Sdn Bhd, Reapfield Properties Sdn Bhd, JAZ International Malaysia Sdn Bhd dan The Roof Realty Sdn Bhd dengan harga jualan yang bermula daripada RM12.73 juta. 


Penempatan semula itu disertai dengan pemeteraian perjanjian eksklusif antara EMKAY Group yang diwakili Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Fazwinna Mustapha Kamal dan kesemua agensi berkenaan di Damansara Perdana, Petaling Jaya hari ini.


"Sektor pejabat tidak berada dalam keadaan yang baik apabila Tower 2 Mercu Mustapha Kamal setinggi 21 tingkat siap pada 2017, ditambah pula dengan isu wabak Covid-19 yang berlaku untuk tahun-tahun berikutnya pula," kata beliau.


Sektor pejabat tambahnya, menghadapi situasi lebihan bekalan ketika itu dan dengan perubahan kepada corak model kerja secara hibrid, kadar penghunian di menara itu adalah lebih perlahan daripada apa yang dibayangkan pada mulanya.


Menara tersebut berkeluasan lantai kasar 21,195 meter persegi manakala keluasan bersih yang boleh disewakan pula ialah sebanyak 17,047 meter persegi dengan setiap tingkat dilengkapi kira-kira 50 petak untuk tempat letak kereta.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EMKAY, Jayasangaran Dhanapal berkata, syarikat tersebut telah memulakan proses bagi meletakkan semula strategi penjualan Tower 2 Mercu Mustapha Kamal sejak lebih setahun yang lalu.


"Menara ini sebelum itu adalah untuk jualan en-bloc, iaitu hanya satu geran bagi keseluruhan bangunan, tetapi kami menukar dan menawarkan geran untuk setiap tingkat agar lebih banyak perusahaan kecil dan sederhana memilikinya," kata beliau.


Mereka tambahnya, tidak perlu lagi menyewa seluruh menara tersebut dan untuk tujuan itu, EMKAY telah mengubah geran dan susunan pemilikan yang mengambil masa sebelum kini boleh bersedia untuk melancarkannya ke pasaran terbuka.


Bangunan itu dilengkapi dengan ciri penjimatan tenaga seperti panel solar, stesen pengecas kenderaan elektrik dan penuaian air hujan serta kemudahan termasuk lobi utama, dewan solat, taman dan dewan bankuet yang boleh menampung 1,000 orang.


Ia adalah sebahagian daripada pembangunan bercampur dikenali Neo Damansara dengan pegangan pajak seluas 3.1 hektar di Damansara Perdana serta nilai pembangunan kasar sebanyak RM804 juta.


Keseluruhan pembangunan terdiri daripada 272 unit pejabat kedai enam hingga lapan tingkat, sebuah pangsapuri servis 640 unit serta dua menara pejabat iaitu Tower 1 dan 2 Mercu Mustapha Kamal. - DagangNews.com