KUALA LUMPUR 9 Mei — Emirates Gold DMCC yang berpusat di Dubai dan antara badan paling besar dan berpengaruh di rantau Asia Barat, telah menyertai Persatuan Emas Malaysia (MGA) sebagai Ahli Bersekutu Asing.
Presiden MGA, Datuk Louis Ng berkata, Emiriah Arab Bersatu adalah hab emas antarabangsa manakala Emirates Gold pula dianggap paling terkenal dalam industri logam berharga global, yang berbangga sebagai jenama berprestij dengan kualiti dan kecemerlangannya.
"Penyertaan Emirates Gold di dalam MGA, melambangkan kerjasama serantau yang lebih mendalam dan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai rangkaian emas antarabangsa selain juga akan menjadi penaja untuk penganjuran MGC 2026," kata beliau.
Louis berkata demikian semasa berucap pada Pameran Perdagangan Barangan Kemas Emas Malaysia di Pulau Pinang yang turut dihadiri Ketua Menteri Chow Kon Yeow, hari ini.


Sebagai penganjur bersama MGJE 2025, MGA mengesahkan komitmennya untuk memajukan industri dengan menyediakan platform dinamik untuk rangkaian global, pertumbuhan perniagaan, dan risikan pasaran, manakala membantu pempamer dan pelawat dari seluruh dunia untuk menavigasi trend pasaran terkini.
Pada majlis itu, MGA secara rasminya telah melancarkan dokumentari yang mempamerkan sektor fabrikasi barang kemas Malaysia, menonjolkan legasi negara sebagai hab terkenal dunia untuk ketukangan berkualiti tinggi emas 916 (22k) dan 999 (24k), diselitkan dengan kesenian tradisional dan teknik moden.
“Dokumentari ini berfungsi sebagai penghormatan kepada ramai generasi tukang mahir yang telah membentuk industri emas masa kini. Ia mencerminkan warisan kita yang kaya dan meletakkan Malaysia sebagai pusat kecemerlangan global dalam pengeluaran barang kemas emas.
"Kami berharap ia memberi inspirasi, penghargaan dan pengiktirafan yang lebih tinggi, di peringkat tempatan dan antarabangsa,” ujar beliau.
Louis turut mengumumkan Persidangan Emas Malaysia (MGC) bakal diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 2 dan 3 Februari 2026 dengan kehadiran lebih 500 delegasi dari 30 buah negara.
Persidangan yang masuk edisi ketiga itu bakal menyaksikan penyertaan ramai pelawat terutama dari ASEAN dan rantau Asia Pasifik, untuk berkongsi pandangan serta memupuk kerjasama merentas industri logam berharga itu.



Katanya, persidangan itu turut mendapat sokongan utama rakan kongsi utama MGA antaranya ialah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) serta Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB).
"MGC 2026 akan menjadi edisi kami yang paling bercita-cita tinggi selaras dengan standard antarabangsa apabila menyatukan suara daripada ekosistem logam berharga dan mengukuhkan rangkaian emas global," kata beliau dalam satu kenyataan.
Selain itu tambah Louis, persidangan itu turut menghimpunkan ramai pakar perlombongan, penapisan, tukang emas, pengawal selia dan pelabur untuk mereka berkongsi pelbagai perspektif serta mencetus inovasi industri tersebut.
Pada masa yang sama kata beliau, Metals Focus yang akan berkhidmat sebagai Rakan Kongsi Pengetahuan untuk MGC 2025 akan mempamerkan cerapan mengenai sektor emas dengan dipacu data terkini sepanjang acara untuk disaksikan semua delegasi.
Beliau berasa yakin, dengan sokongan daripada rakan kongsi MGA yang juga bertaraf dunia, sektor emas Malaysia berada di landasan tepat serta bersedia untuk mengambil alih peranan kepimpinan masa depan dalam industri logam itu di ASEAN.
Louis turut mengumumkan MGA melancarkan Kempen "Beli Emas Malaysia: Tradisi Ketukangan, Masa Depan Kecemerlangan" di bawah Kempen Beli Barangan Malaysia 2025, dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

"Program berlangsung dari 1 Mei hingga 31 Disember 2025 ini mencerminkan pengiktirafan kerajaan terhadap kepentingan ekonomi dan budaya pembuatan emas serta meningkatkan jualan tempatan selain meningkatkan keyakinan pengguna," katanya.
Di samping itu tambahnya, kempen tersebut meletakkan Malaysia sebagai peneraju global dalam barang kemas emas dan MGA mengambil peluang untuk menjemput pemain industri emas menyertai kempen dengan menghubungi Sekretariat MGA di [email protected]. - DagangNews.com








