KUALA LUMPUR 18 Jun – Lonjakan 11 anak tangga Malaysia dalam World Competitiveness Ranking (WCR) 2025, daripada kedudukan ke-34 kepada ke-23, telah mencetuskan semangat optimis dalam kalangan rakyat.
Namun bagi pakar ekonomi, Prof. Dr. Geoffrey Williams, pencapaian sebenar bukanlah pada kedudukan tersebut, sebaliknya terletak pada pelaksanaan reformasi dasar yang sedang digerakkan menerusi kerangka Ekonomi MADANI.
Dalam wawancara bersama DagangNews, Dr. Williams yang juga Pengarah Williams Business Consultancy Sdn Bhd, menjelaskan bahawa terdapat persefahaman dalam kalangan ahli ekonomi bahawa WCR “tidak begitu bermakna dalam menggambarkan daya saing sebenar sesebuah negara.”

“Tiada implikasi sebenar daripada tinjauan tahunan yang dibuat oleh pihak swasta ini. Ia sering berubah-ubah setiap tahun dan tidak memberi kesan besar terhadap perniagaan mahupun pelaburan,” katanya.
Beliau menyamakan WCR dengan “penunjuk publisiti, seperti kedudukan universiti atau liga bola sepak” yang menurutnya tidak mempunyai asas kukuh dan gagal mencerminkan realiti ekonomi semasa.
Meskipun kritikal terhadap WCR, Dr. Williams mengakui bahawa Malaysia kini sedang berada di landasan reformasi yang betul, dan pendekatan sebenar Ekonomi MADANI hanya bermula melalui Bajet 2024.
“Kita hanya melihat pendekatan Ekonomi MADANI bermula dalam Bajet 2024. Bajet terdahulu di bawah menteri kewangan sebelum ini agak lemah dari pelbagai aspek, dan ini mungkin antara faktor penyumbang,” katanya merujuk kepada ketidaktentuan yang diwarisi oleh Kerajaan Perpaduan.
Beliau mengulas demikian susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pelaburan RM9 bilion oleh syarikat Shell yang dijangka membuka peluang pekerjaan berkemahiran tinggi dan meningkatkan keyakinan pelabur asing.
ARTIKEL BERKAITAN: Shell rancang tambah pelaburan lebih RM9 bilion di Malaysia
Menurut Dr. Williams, tumpuan Malaysia sepatutnya bukan kepada kedudukan dalam ranking, tetapi terhadap reformasi struktur ekonomi — khususnya konsolidasi fiskal, rasionalisasi subsidi, dan liberalisasi pasaran — yang merupakan tunjang utama dalam Ekonomi MADANI.
“Kerajaan sedang berada di landasan tepat dalam usaha reformasi ekonomi, dengan rangka kerja fiskal baharu dan langkah rasionalisasi subsidi yang telah pun dimulakan,” jelas beliau.
Tambah beliau, Malaysia tidak perlu memburu ranking untuk membuktikan kemajuan kerana ekonomi negara sedang berkembang sekitar 5%, dan reformasi sedang menyusun semula asas jangka panjang negara.
“Malaysia tidak perlu terlalu fokus kepada ranking daya saing — kita ada pertumbuhan ekonomi 5%. Fokus seharusnya pada reformasi struktur untuk meningkatkan pendapatan dan menstruktur semula subsidi. Inilah yang akan menjana daya saing melalui kreativiti, kelincahan dan inovasi sektor swasta,” ujarnya.
Menyentuh mengenai strategi ekonomi masa depan, Dr. Williams menegaskan bahawa kelebihan daya saing Malaysia masih terletak dalam sektor seperti kewangan Islam, industri halal dan minyak sawit — sektor yang tidak bergantung kepada penyelidikan dan pembangunan (R&D) jangka panjang tetapi mempunyai akses besar ke pasaran global.
“Kekuatan daya saing Malaysia adalah dan akan terus berada dalam sektor komoditi serta kemampuan untuk meniru inovasi dari tempat lain,” katanya. “Ini bukan sektor berasaskan R&D, tetapi inilah ruang di mana Malaysia boleh berinovasi dan menambah pegangan pasaran.”
Beliau turut menyuarakan keraguan terhadap naratif R&D berteknologi tinggi atau ‘masa depan pekerjaan’ yang menurutnya tidak sejajar dengan keadaan sebenar ekonomi Malaysia.
“Cabaran daya saing yang sering diketengahkan tidak mempunyai kaitan dengan realiti ekonomi Malaysia. Ia hanya menolak naratif teknologi tanpa mengakui bahawa teknologi baharu turut menggantikan pekerjaan — dan masa depan pekerjaan sebenar terletak pada sektor berasaskan manusia seperti ekonomi penjagaan,” jelas beliau.
Walaupun mengakui kesan langsung kepada rakyat belum sepenuhnya dirasai, Dr. Williams tetap yakin prospek jangka sederhana adalah memberangsangkan.
“Sasaran ini bersifat politik dan jangka panjang. Isu jangka pendek tidak memberi kesan besar. Apabila reformasi berjalan lancar, peluang pekerjaan dan pendapatan rakyat dijangka meningkat,” katanya.
Dr. Williams menggesa kerajaan agar tidak terlalu bergantung kepada ranking, sebaliknya terus memantapkan asas dasar yang sedang dilaksanakan menerusi Ekonomi MADANI.
“Kerajaan perlu hentikan tumpuan terhadap ranking ini atau menampakkan seolah-olah ia sangat penting. Ia sebenarnya tidak banyak memberi maklumat dari sudut ekonomi,” tegas beliau.
Tatkala Malaysia meneroka trajektori baharu di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan, pandangan seimbang tetapi optimis seperti yang disuarakan oleh Dr. Williams memberi isyarat bahawa kemajuan sebenar negara bergantung kepada keberanian melaksanakan reformasi sebenar demi ketahanan dan keadilan ekonomi jangka panjang. - DagangNews.com








