KUALA LUMPUR 24 Okt – Prospek pendapatan OCK Group Bhd (OCK) dijangka melonjak hasil sumbangan kukuh daripada anak syarikatnya EI Power Technologies (EIPT), yang kini mempunyai buku pesanan dan tender tinggi bagi penyelesaian tenaga untuk pusat data berskala besar di Malaysia, kata Kenanga Research.
Firma penyelidikan itu menjangkakan keuntungan EIPT bagi tahun kewangan 2025 hingga 2026 (FY25F–FY26F) akan melebihi unjuran konservatif sebelumnya, disokong oleh permintaan kukuh dan persaingan terhad dalam sektor tenaga untuk pusat data.
Katanya, momentum pertumbuhan tersebut jelas kelihatan apabila EIPT mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) RM8.7 juta bagi separuh pertama FY25, berbanding RM9.1 juta bagi keseluruhan FY24.
“Berdasarkan prestasi semasa, kami menaikkan unjuran keuntungan FY25F dan FY26F sebanyak 23%, berikutan semakan ke atas andaian buku pesanan, tender dan kadar kejayaan (hit rate) EIPT,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Kenanga berkata, penilaian terhadap OCK turut disemak naik dengan peningkatan gandaan kepada 5.9 kali EV/EBITDA FY26F (dari 5.7 kali sebelum ini), bagi mengambil kira penilaian IPO EIPT pada 18 kali PER FY26F.
Hasil semakan tersebut, PER tersirat OCK bagi FY26F meningkat kepada 16.1 kali, berbanding 14 kali sebelum ini, dengan sumbangan keuntungan EIPT diunjurkan meningkat kepada kira-kira 46% daripada jumlah keuntungan kumpulan.
"Sehubungan itu, sasaran harga (TP) OCK dinaikkan sebanyak 35% kepada RM0.53 sesaham daripada RM0.39 sebelum ini. Tiada pelarasan tambahan dibuat berdasarkan penilaian ESG, memandangkan OCK mengekalkan penarafan 3 bintang," kata firma itu.
Pada laporan terdahulu (9 September 2025), nilai pegangan OCK dalam EIP dianggarkan boleh mencecah 5.4 sen sesaham, namun nilai tersebut belum diambil kira dalam penilaian sebelumnya.
OCK dilihat berpotensi memperkukuh semula aliran pendapatan berulangnya melalui peluang pengembangan dalam beberapa segmen utama, termasuk pelaksanaan rangkaian 5G kedua Malaysia membabitkan sewaan menara, kerja pembangunan rangkaian dan penyelesaian IBC.
Katanya projek USP oleh MCMC dan inisiatif JENDELA Fasa 2, termasuk pembinaan menara baharu, penyediaan gentian dan infrastruktur 5G dan projek pusat data yang memerlukan penyelesaian tenaga dan sambungan gentian optik.
Selain itu usaha niaga digital seperti penyelesaian awan, infrastruktur bandar pintar dan perkhidmatan sambungan terurus serta pengembangan serantau, termasuk pelaksanaan 5G di Laos dan pengambilalihan menara brownfield di Vietnam akan memperkukuhkan aliran pendapatan.
"Peluang-peluang ini dijangka memperkukuh pendapatan berulang OCK, yang kini menyumbang kira-kira 50% daripada hasil keseluruhan kumpulan, terutamanya melalui sewaan menara dan perkhidmatan pengurusan," katanya.
Berikutan peningkatan jangkaan pendapatan dan penyenaraian EIPT yang bakal berlaku, Kenanga menaik taraf saranannya ke atas saham OCK kepada OUTPERFORM daripada MARKET PERFORM sebelum ini.
Katanya, sejak penurunan saranan pada Ogos 2024, harga saham OCK telah jatuh daripada 57 sen kepada serendah 37 sen (-35%) pada Mac 2025, sebelum pulih ke paras semasa sekitar 45.5 sen (-20%).
“Kami percaya nilai sebenar OCK kini mula terserlah kerana harga saham semasa telah pun mencerminkan kebimbangan terhadap kelewatan penambahan pesanan baharu selepas siapnya rangkaian 5G pertama dan JENDELA Fasa 1,” menurut laporan tersebut. - DagangNews.com








