KUALA LUMPUR 18 Sept – Eco World Development Group Bhd (EcoWorld) mencatatkan prestasi cemerlang bagi suku ketiga berakhir 31 Julai 2025 (3QFY25), apabila untung bersih melonjak 25.8% kepada RM101.17 juta, berbanding RM80.44 juta dalam tempoh sama tahun lalu.
Prestasi kukuh itu disokong oleh lonjakan hasil 44.8% kepada RM761.93 juta, didorong penyatuan penuh keputusan kewangan Paragon Pinnacle Sdn Bhd, pemaju kepada Eco Grandeur dan Eco Business Park V di Lembah Klang.
“Sumbangan Paragon Pinnacle amat signifikan selepas pengambilalihan penuh baki 40% pegangan pada 18 Februari lalu,” kata EcoWorld dalam kenyataan hari ini.
Selain projek di Lembah Klang, beberapa pembangunan utama lain yang turut menyumbang kepada hasil dan keuntungan kasar termasuk Eco Botanic, Eco Botanic 2, Eco Spring, Eco Tropics dan Eco Business Park I, II, III di Iskandar Malaysia; Eco Majestic, Eco Forest, Eco Sanctuary dan Se.Duduk D’Kajang di Lembah Klang.
EcoWorld turut mencatat pendapatan sesaham (EPS) lebih tinggi sebanyak 3.40 sen berbanding 2.73 sen sebelumnya.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025, untung bersih melonjak 41.5% kepada RM311.35 juta, manakala hasil meningkat 34.6% kepada RM2.18 bilion.
EcoWorld mengumumkan dividen interim ketiga sebanyak dua sen sesaham, menjadikan jumlah dividen setakat ini kepada lima sen bagi tahun kewangan 2025.
Menariknya, syarikat telah melepasi sasaran jualan tahunan sebanyak RM3.5 bilion apabila mencatatkan jualan RM3.84 bilion dalam tempoh 10 bulan FY25.
Daripada jumlah itu 52% atau RM1.99 bilion disumbang oleh projek di Iskandar Malaysia; 38% dari Lembah Klang; 10% dari Pulau Pinang.
“Pendapatan masa depan kini mencecah RM5.14 bilion setakat 31 Ogos 2025,” kata EcoWorld.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld, Datuk Chang Khim Wah, berkata segmen perumahan terus menjadi tunjang prestasi kumpulan, menyumbang RM2.08 bilion setakat 31 Ogos 2025.
“Jualan rumah kediaman bertanah di bawah jenama Eco Townships telah mengatasi jualan penuh tahun lalu, dengan RM1.39 bilion dicatatkan dalam tempoh 10 bulan,” jelas beliau.
Tambah beliau, kumpulan turut menerima banyak pertanyaan daripada pelabur asing terutamanya di Iskandar Malaysia, Lembah Klang dan MVV2, yang berminat menubuhkan operasi di Malaysia.
Masa Depan
Melihat ke hadapan, EcoWorld akan melancarkan Eco Botanic 3 sebelum hujung tahun ini, membina atas kejayaan Eco Botanic dan Eco Botanic 2 di Iskandar Puteri, yang kini antara alamat kediaman paling berprestij di Johor.
Syarikat juga memperluaskan aliran pendapatan berulang melalui pembangunan pusat data untuk disewa kepada Pearl Computing Malaysia Sdn Bhd, yang dijangka siap pada separuh kedua 2027.
Setakat 31 Julai 2025, nisbah hutang bersih kepada ekuiti EcoWorld kekal terkawal pada 0.53 kali, disokong oleh tunai, deposit dan dana jangka pendek sebanyak RM1.7 bilion.
Saham EcoWorld ditutup pada RM0.88 dengan permodalan pasaran kira-kira RM2.6 bilion. - DagangNews.com








