KUALA LUMPUR 11 Julai – Econpile Holdings Bhd terus mengukuhkan buku pesanan kerja apabila berjaya meraih kontrak baharu bernilai RM98.2 juta menerusi anak syarikat milik penuh, Econpile (M) Sdn Bhd.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat itu memaklumkan telah menerima Surat Anugerah bertarikh 7 Julai 2025 daripada Eastmont Sdn Bhd bagi kerja-kerja cerucuk bored piling untuk Blok C dan D, serta pembinaan ruang bawah tanah untuk Blok C termasuk kerja-kerja pile cap bagi Blok D.
Projek itu melibatkan pembangunan industri yang dicadangkan di Lot 114017 dan Lot 60925, Jalan Wawasan 1/KU7, Sungai Kapar Indah, Mukim Kapar, Daerah Klang, Selangor Darul Ehsan.
Tempoh pelaksanaan projek tersebut ditetapkan selama 13 bulan bermula 30 Julai 2025.
Menurut Econpile, projek berkenaan dijangka menyumbang secara positif kepada hasil dan keuntungan kumpulan bermula tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026.
“Lembaga Pengarah yakin projek ini akan terus mengukuhkan kedudukan syarikat dalam sektor pembinaan dan kerja-kerja cerucuk,” kata syarikat itu sambil menambah bahawa tiada risiko besar yang dijangka selain risiko operasi biasa yang akan diuruskan menerusi kawalan dalaman dan prosedur operasi yang ketat.
Syarikat itu turut menegaskan tiada pengarah, pemegang saham utama atau individu berkaitan mempunyai sebarang kepentingan langsung atau tidak langsung dalam projek berkenaan.
Econpile merupakan antara pemain utama dalam bidang kerja-kerja cerucuk dan asas di Malaysia dengan rekod prestasi kukuh dalam projek infrastruktur serta pembangunan bangunan di seluruh negara. - DagangNews.com








