KUALA LUMPUR 23 Okt — Eco-Shop Marketing Bhd dijangka meneruskan momentum pertumbuhan kukuhnya menerusi pengembangan rangkaian kedai baharu dan menaik taraf 20 kedai lama dengan konsep dan susun atur baharu, kata RHB Research.
Firma penyelidikan itu berkata, program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di bawah Belanjawan 2026 juga dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan pendapatan, selain penjenamaan.
Pada masa ini, kata RHB, Eco-Shop telah mengenal pasti lebih 70 lokasi baharu bagi rancangan pengembangan rangkaian kedai.
Sehingga suku keempat tahun kewangan 2025, sebanyak 159 daripada 371 cawangan Eco-Shop telah diaktifkan untuk menerima pembayaran SARA, dengan pelan penambahan cawangan yang agresif pada masa depan.
"Kami menjangka sumbangan SARA akan melonjak pada tahun-tahun akan datang, dengan unjuran pendapatan FY27-28F dinaikkan sebanyak 4% setahun.
"Ini turut mendorong kenaikan harga sasaran syarikat berasaskan model DCF kepada RM1.63, merangkumi premium ESG sebanyak 4%," katanya dalam nota penyelidikan hari ni.
Bagaimanapun RHB menurunkan penarafan saham syarikat kepada Neutral daripada Beli, dengan harga sasaran baharu (TP) dinaikkan sedikit kepada RM1.63 daripada RM1.51.
"Penurunan penarafan ini dibuat selepas kenaikan harga saham Eco-Shop yang agak ketara, menjadikan penilaian semasa dilihat sebagai wajar pada tahap kini," katanya.
Bagaimanapun RHB berkata, Eco-Shop dijangka mencatat prestasi kewangan suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26) yang stabil, dengan margin untung kasar (GPM) yang kukuh dapat mengimbangi kelemahan SSSG.
Selain itu, katanya, inovasi produk (terutamanya produk bermusim yang menarik) menjadi satu lagi fokus utama pengurusan bagi meningkatkan perbelanjaan pelanggan.
"Dari segi kos, kesan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas sewaan serta caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi pekerja asing (bermula Oktober) dijangka dapat dikawal, disokong oleh pengembangan margin untung kasar (GPM) yang kukuh," katanya.
Menurut RHB, Eco-Shop akan mengumumkan keputusan kewangan 1QFY26 pada 24 Oktober ini, dengan anggaran pendapatan teras sekitar RM54-58 juta, sejajar dengan corak bermusim di mana separuh kedua tahun kewangan biasanya lebih kuat didorong oleh musim perayaan.
Suku pertama juga dijangka mencerminkan kesan penuh kenaikan harga yang dilaksanakan pada pertengahan April lalu.
Ini selepas Eco-Shop mencatatkan penurunan SSSG sebanyak 8% dan peningkatan GPM sebanyak 4.7 mata peratusan pada suku sebelumnya.
Namun, kempen “Sama Bantu” yang menurunkan harga produk makanan dan minuman kepada RM2.40 sejak Julai dijangka menjejaskan pengembangan margin secara sederhana. - DagangNews.com








