Eastin Hotel bertukar menjadi Petaling Jaya Marriott pada Disember 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eastin Hotel bertukar menjadi Petaling Jaya Marriott pada Disember 2026

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 18 Julai - Marriott International Inc menandatangani perjanjian dengan TSM Global Bhd untuk menukar Hotel Eastin Kuala Lumpur yang mempunyai 393 bilik kepada Petaling Jaya Marriott Hotel.

 

Hotel tersebut, yang terletak di Seksyen 16 Petaling Jaya, akan menyertai jenama Marriott Hotels pada Disember 2025 selepas melalui pengubahsuaian secara berperingkat.

 

 

 

 

 

 

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan TSM Global dalam projek penukaran strategik ini yang akan memperkenalkan jenama Marriott Hotels yang dipercayai ke koridor komersial dinamik Petaling Jaya,” kata Naib Presiden Pembangunan Hotel Marriott International – Asia Pasifik (tidak termasuk China), Andree Susilo dalam satu kenyataan.


 

eastin
Naib Presiden Pembangunan Hotel Marriott International – Asia Pasifik (tidak termasuk China), Andree Susilo (dua dari kanan), dan Pengarah TSM Global, Lim Tze Thean (dua dari kiri).

 


“Platform mesra penukaran jenama utama kami terus mendapat sambutan daripada pemilik dan pelabur, dan perjanjian ini mencerminkan keyakinan bersama terhadap masa depan landskap hospitaliti Malaysia.”

 

Hotel yang dibuka pada tahun 1998 ini akan menjalani pengubahsuaian secara berperingkat, bermula dengan pengubahsuaian lobi dan reka bentuk semula bilik tetamu agar sejajar dengan piawaian moden Marriott. Ciri-ciri baharu termasuk M Club Lounge untuk ahli Elite dan Club, restoran Cina, dan Kelab Kanak-Kanak.

 

Hotel yang telah diubah suai sepenuhnya dijangka dibuka menjelang Disember 2026.

 

Apabila siap diubah suai dan dijenamakan semula, Petaling Jaya Marriott Hotel akan menawarkan bilik yang dinaik taraf, perkhidmatan bertaraf jenama antarabangsa, dan akses mudah ke destinasi perniagaan serta rekreasi.

 

Sementara itu, Pengarah TSM Global, Lim Tze Thean berkata: “Kami teruja untuk bekerjasama dengan Marriott International dan memperkenalkan jenama Marriott Hotels ke lokasi strategik ini.”

 

“Perjanjian ini melambangkan komitmen kami untuk meningkatkan piawaian hospitaliti di Malaysia, dan kami berharap dapat membina destinasi menarik yang menawarkan kualiti, konsistensi, dan pengiktirafan global,” kata Lim.

 

Ketika ini, Marriott mengendalikan lebih daripada 60 hartanah di Malaysia merangkumi 20 jenama dan terus meneroka peluang untuk mengembangkan kehadirannya di pasaran strategik di seluruh negara. - DagangNews.com