KUALA LUMPUR 30 April — DXN Holdings Berhad diunjur mampu mencatatkan pertumbuhan hasil yang lebih tinggi pada FY25 dengan dipacu momentum permintaan semakin bertambah ke atas produknya, kata RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan positif itu turut dibantu peningkatan kecekapan bersama-sama pelarasan harga tahunan dan pengekalan margin keuntungan kasar yang tinggi sebanyak 80 peratus.
Situasi berkenaan katanya, mampu dicapai syarikat tersebut walaupun berdepan dengan kos input dan operasi yang meningkat namun diselamatkan oleh pelbagai strategi teras termasuk untuk merekrut ahli baharu.
"Langkah berterusan DXN itu berjaya meningkatkan tahap produktiviti mereka selain syarikat dilengkapi dengan siri pelancaran beberapa produk baharu berkualiti di pasaran," katanya dalam satu nota kajian.
Sementara itu katanya, pengembangan kapasiti pengeluaran baru-baru ini dijangka membantu dalam usaha menangani permintaan yang semakin meningkat dan melancarkan kategori produk bagi meluaskan liputan pasaran.
Keputusan dilaporkan untuk FY25 membuktikan DXN memenuhi jangkaan firma penyelidikan itu dengan disokong pertumbuhan kukuh di pasaran utama dan keuntungan kecekapan mengimbangi kesan pertukaran mata wang asing.
RHB Research turut tertarik kepada model perniagaan yang berkesan, pengembangan di Brazil sebagai pemacu pertumbuhan jangka sederhana, dan kunci kira-kira kukuh dengan tunai bersih pada FY25 sebanyak RM517 juta
"Di samping itu, kami menantikan keputusan kemasukan ke Brazil yang dijangka memanfaatkan rangkaian sedia ada DXN di rantau Amerika Latin serta meramalkan sumbangan hasil ketara dalam masa tiga tahun," katanya.
Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut mengekalkan saranan 'beli' ke atas syarikat berkenaan dengan harga sasaran masih lagi diunjurkan kepada 88 sen sesaham berdasarkan ramalan pertumbuhan 8 peratus. - DagangNews.com








