KUALA LUMPUR 28 Jan — DXN Holdings Bhd merekodkan hasil sebanyak RM1.4236 bilion bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 November 2025 (9MFY26), sedikit rendah berbanding RM1.4496 bilion yang dicatatkan dalam tempoh sama tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh kesan terjemahan mata wang asing yang tidak memihak susulan pengukuhan Ringgit Malaysia.
Namun begitu, jika tidak mengambil kira kesan terjemahan mata wang asing, hasil kumpulan mencatat pertumbuhan tahun ke tahun (YoY) terlaras sebanyak 14.5%, disokong oleh prestasi kukuh dalam mata wang tempatan di beberapa pasaran utama termasuk Peru, Bolivia, India dan Timur Tengah, yang masing-masing mencatat pertumbuhan antara 10.0% hingga 43.0% YoY.
Dalam kenyataan hari ini, kumpulan itu berkata, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) kumpulan bagi tempoh tersebut berjumlah RM407.1 juta, berbanding RM435.4 juta pada 9MFY25.
Penurunan ini terutamanya disebabkan oleh kos pajakan pesawat yang lebih tinggi susulan lanjutan tempoh pajakan, serta ketiadaan bayaran balik cukai tidak langsung secara sekali sahaja yang diiktiraf pada tahun sebelumnya.
Bagaimanapun, impak ini sebahagiannya diimbangi oleh kerugian pertukaran asing yang lebih rendah.
Keuntungan selepas cukai dan kepentingan bukan kawalan (keuntungan bersih) bagi 9MFY26 berjumlah RM208.9 juta, menurun berbanding RM244.3 juta pada tempoh yang sama tahun lalu.
Selaras dengan dasar dividen syarikat, Lembaga Pengarah DXN telah mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 0.8 sen sesaham bagi suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26).
Ini menjadikan jumlah dividen yang diisytiharkan bagi 9MFY26 sebanyak 2.5 sen sesaham, dengan jumlah keseluruhan pembayaran dividen sebanyak RM124.3 juta, mewakili nisbah pembayaran 59.5%.
Pengerusi Eksekutif dan Pengasas DXN, Datuk Lim Siow Jin berkata prestasi kumpulan dicapai dalam persekitaran operasi yang mencabar, dipengaruhi oleh ketegangan geopolitik, turun naik mata wang asing serta tekanan inflasi global.
“Walaupun berdepan cabaran ini, perniagaan asas DXN kekal berdaya tahan, disokong oleh permintaan yang sihat di pasaran utama serta kekuatan rangkaian ahli global kami, khususnya di Amerika Latin, Eropah dan Afrika,” katanya dalam kenyataan itu.
Amerika Latin kekal sebagai penyumbang terbesar kepada hasil kumpulan, merangkumi lebih 60% daripada jumlah hasil, serta muncul sebagai wilayah terpantas berkembang bagi DXN. Prestasi ini disokong oleh strategi penyetempatan, termasuk pelaburan dalam kemudahan pengeluaran yang lebih dekat dengan pasaran akhir.
Di Peru, DXN melabur sebanyak RM107.2 juta bagi pembinaan sebuah kemudahan pengeluaran yang dijadualkan mula beroperasi pada 2026, bagi menghasilkan pelbagai produk termasuk minuman, makanan serbuk, suplemen dan jus untuk pasaran serantau.
Pelaburan ini akan diikuti oleh pembinaan kemudahan pengeluaran bernilai RM111.1 juta di Bolivia pada 2027.
Selain itu, DXN turut memperkukuh rantaian bekalan huluan melalui pelaburan sebanyak RM33.8 juta bagi pembelian tanah di Brazil untuk tujuan penanaman dan pemprosesan kopi, sejajar dengan strategi perniagaan bersepadu menegak kumpulan.
Menurut Siow Jin, inisiatif huluan dan hiliran yang dilaksanakan di Brazil, Bolivia, Peru dan Malaysia akan meningkatkan kebolehpercayaan rantaian bekalan serta mengurangkan pendedahan kepada turun naik harga bahan mentah, sekali gus menyokong kebolehskalaan jangka panjang operasi DXN di rantau Amerika Latin.
Bagi suku ketiga tahun kewangan 2026 (3QFY26), DXN mencatatkan hasil sebanyak RM463.3 juta, lebih rendah berbanding RM486.1 juta pada 3QFY25, dipengaruhi oleh pengukuhan Ringgit Malaysia dan pembelian awal oleh ahli di Timur Tengah menjelang semakan harga pada September 2025.
Seiring dengan hasil yang lebih sederhana, EBITDA bagi suku tersebut berjumlah RM131.7 juta, manakala keuntungan bersih mencatat RM64.8 juta, berbanding RM158.0 juta dan RM92.8 juta masing-masing pada tahun sebelumnya.
Dari segi kedudukan kewangan, DXN kekal kukuh dengan tunai dan setara tunai sebanyak RM637.1 juta setakat 30 November 2025, jauh melebihi jumlah pinjaman kumpulan sebanyak RM187.9 juta. Aliran tunai operasi bersih juga kekal positif pada RM240.0 juta bagi tempoh tersebut.
Dalam perkembangan lain, DXN turut meraih beberapa pencapaian korporat penting sepanjang tempoh ini, termasuk pengiktirafan sebagai Regional Social Impact Leader di ESG PLUS Awards 2025, serta kemasukan ke dalam Indeks FTSE4Good Bursa Malaysia, FTSE4Good Bursa Malaysia Shariah, Indeks Bursa Quality 50 dan Bursa Quality 50 Shariah, mencerminkan kekuatan kewangan serta komitmen jangka panjang kumpulan terhadap pertumbuhan mampan. - DagangNews.com








