Dayang peroleh kontrak ketiga bekal kapal tangki kepada Petronas Carigali | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dayang peroleh kontrak ketiga bekal kapal tangki kepada Petronas Carigali

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 23 Mei — Dayang Enterprise Holdings Berhad memperoleh satu lagi kontrak daripada Petronas Carigali Sdn Bhd untuk penyediaan sebuah kapal tangki pendaratan (LCT).


Kumpulan perkhidmatan minyak dan gas yang berpangkalan di Sarawak itu berkata, LCT tersebut bakal dinamakan sebagai Dayang Cempaka dan akan disewa selama tempoh 256 hari.


Ini katanya, menandakan set ketiga pesanan kerja kumpulan itu diterima daripada Petronas Carigali pada tahun ini dengan pilihan bagi melanjutkan penyewaan sehingga 60 hari lagi.


"Jumlah nilai kontrak akan ditentukan berdasarkan arahan kerja yang dikeluarkan Petronas Carigali dalam tempoh kontrak," katanya dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia.


Pada 9 April 2025, kumpulan itu memperoleh dua tempahan bagi penyediaan bot kerja penginapan manakala pada 24 Mac 2025, ia menerima sebanyak tiga tempahan kerja serupa.


Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, Dayang melaporkan penurunan keuntungan bersih sebanyak 56 peratus untuk tempoh suku pertama 2025 yang berakhir pada 31 Mac 2025.


Kemerosotan tersebut kata kumpulan berkenaan, dibebani oleh faktor kos operasi lebih tinggi yang berkaitan dengan kerja-kerja persediaan kapal untuk kontrak jangka panjang.


Keuntungan bersih bagi tiga bulan turut susut kepada RM12.3 juta atau kira-kira 1.06 sen sesaham, berbanding sebanyak RM27.9 juta atau 2.41 sen sesaham setahun sebelumnya.


Hasil Dayang jatuh 38 peratus tahun ke tahun kepada RM153.8 juta daripada RM247.1 juta, ekoran kadar penggunaan kapal sebanyak 26 peratus berbanding 48 peratus pada 1QFY24.


Penurunan itu juga disebabkan kelewatan dalam permulaan kontrak, pengurangan penyewaan kapal pihak ketiga, ditambah dengan ketiadaan limpahan kontrak dari tahun-tahun sebelum.


Berbanding dengan suku sebelumnya yang terdekat, keuntungan bersih menyusut 27 peratus daripada RM16.9 juta, apabila hasil menjunam 51 peratus daripada RM316.7 juta. - DagangNews.com