Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilantik semula sebagai Pengerusi Felda | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilantik semula sebagai Pengerusi Felda

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 21 Julai - Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dilantik semula sebagai Pengerusi Felda, tiga minggu selepas diumumkan kontrak kerjanya tamat pada 30 Jun lalu.

 

Dalam kenyataan hari ini, Felda memaklumkan bahawa "Dato’ Sri menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri atas kepercayaan yang diberikan untuk terus menerajui FELDA.

 

"Pengurusan dan seluruh warga Kumpulan FELDA menyambut baik pelantikan semula ini dan yakin bahawa pengalaman, wawasan serta komitmen tinggi YBhg. Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek akan terus membawa Kumpulan FELDA melangkah lebih jauh seiring dengan hasrat Malaysia MADANI," kata kenyataan itu.

 

 

Ahmad Shabery Cheek

 

 

Ahmad Shabery asalnya, dilantik sebagai Pengerusi Felda pada 1 Julai 2023. Bekas menteri komunikasi dan multimedia menggantikan Datuk Seri Idris Jusoh, bekas menteri besar Terengganu.

 

Felda mengakui peranan besar yang dimainkan oleh Shabery dalam memperkukuh hubungan antara agensi itu dan anak-anak syarikatnya, terutamanya dengan mempercepatkan proses penyahsenaraian FGV Holdings Bhd yang dirancang.

 

FGV Holdings telah disenaraikan di Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012 dengan tawaran awam permulaan (IPO) bernilai RM10.5 bilion — ketika itu merupakan IPO kedua terbesar di dunia selepas Facebook. - DagangNews.com