Cukai karbon mampu kurangkan defisit fiskal sehingga -2.3 peratus KDNK menjelang 2035 - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cukai karbon mampu kurangkan defisit fiskal sehingga -2.3 peratus KDNK menjelang 2035 - MBSB Research

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 24 Okt – Pelaksanaan cukai karbon yang dijangka bermula tahun depan berpotensi mengutip purata RM2.1 bilion cukai setahun pada fasa pertama pelaksanaan (2026–2030), kata MBSB Research.

 

Menurut firma penyelidikan itu, berdasarkan andaian kadar cukai permulaan RM10 bagi setiap tan pelepasan karbon dioksida (tCO₂e), hasil tambahan sebanyak RM2.1 bilion setahun daripada cukai karbon akan membantu memperbaiki kedudukan fiskal kerajaan.

 

Katanya, ini berpotensi mengurangkan defisit fiskal sekitar -0.1% daripada KDNK setahun dalam tempoh lima tahun akan datang. 


 
Firma itu menambah, dengan kutipan yang dianggarkan meningkat kepada sehingga RM5 bilion setahun dalam fasa kedua (selepas 2030), pengurangan defisit fiskal boleh meningkat lagi kepada sekitar -0.2% daripada KDNK setahun antara tahun 2031 hingga 2035.

 

"Dengan kata lain, kami menganggarkan pengurangan beransur-ansur defisit fiskal daripada -3.5% KDNK pada tahun 2026 (berdasarkan anggaran MOF bagi Belanjawan 2026) kepada sekitar -2.3% KDNK menjelang tahun 2035, hanya mengambil kira impak kutipan cukai karbon. 

 

"Tambahan pula, kutipan cukai karbon daripada tiga sektor utama (tenaga, besi dan keluli) dijangka menjadi faktor positif dalam menyokong sasaran RMK-13 kerajaan untuk mengurangkan defisit fiskal kepada kurang daripada -3% KDNK menjelang tahun 2030. 

 

"Defisit yang lebih kecil juga akan mengurangkan kebergantungan terhadap pinjaman baharu bagi membiayai perbelanjaan pembangunan," katanya dalam nota penyelidikan analisis sektor hari ini.

 

MBSB berkata, pihaknya yakin kerajaan akan meneliti beberapa isu utama dalam pelaksanaan cukai karbon, antaranya:

 

PERTAMA, kadar cukai permulaan perlu direka bentuk agar tidak menyebabkan kejutan ekonomi yang besar kepada tiga sektor utama dan ekonomi secara keseluruhan. 

 

Kos tambahan ini akan menjejaskan keuntungan syarikat. Kenaikan kadar secara berperingkat, selaras dengan amalan terbaik antarabangsa, akan membantu memudahkan peralihan dan penyesuaian terhadap sistem cukai baharu.

 

KEDUA, MBSB bersetuju dengan rancangan untuk memulakan pelaksanaan cukai karbon terhadap sektor yang banyak bergantung kepada tenaga berasaskan bahan api fosil dan menyumbang kepada pelepasan GHG yang tinggi. 

 

Namun begitu, pada pandangan MBSB, mengenakan cukai karbon kepada industri hiliran yang menggunakan tenaga daripada sektor tenaga akan menyebabkan percukaian berganda. 

 

"Pertimbangan rapi perlu diberikan untuk mengelak daripada mengenakan cukai tambahan kepada pengguna tenaga selain cukai yang telah dikenakan kepada pengeluar tenaga," katanya.

 

KETIGA, dari segi reka bentuk dasar, rangka kerja harga karbon perlu menetapkan sempadan yang jelas antara pengeluar (upstream) dan pengguna (downstream) bagi mengelak beban cukai bertindih, mengekalkan ketelusan harga, dan menyokong peralihan yang lebih cekap kepada sumber tenaga yang lebih bersih. 

 

"Ini boleh termasuk membenarkan syarikat menggunakan kredit karbon untuk membayar atau mengimbangi sebahagian daripada liabiliti cukai karbon mereka, sekaligus memberi fleksibiliti sambil mengekalkan insentif untuk pengurangan pelepasan. 

 

"Walau bagaimanapun, ini memerlukan masa yang mencukupi untuk membangunkan sistem, rangka kerja, dan kapasiti institusi yang diperlukan bagi memastikan pelaksanaan yang lancar dan berkesan," katanya.

 

KEEMPAT, pelaksanaan cukai karbon perlu diselaraskan dengan aspirasi iklim Malaysia yang lebih luas, termasuk komitmen pengurangan karbon negara dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG). 

 

Katanya, rangka kerja harga karbon yang direka bentuk dengan baik boleh menjadi alat dasar yang berkesan untuk menggalakkan pengurangan pelepasan, mempercepat peralihan kepada tenaga boleh baharu, dan menggalakkan pelaburan dalam teknologi rendah karbon. 

 

"Dalam jangka panjang, ini akan membantu negara mencapai sasaran sifar bersih sambil meningkatkan kredibiliti dan daya saing iklim Malaysia," katanya.

 

MBSB berkata, pelaksanaan cukai karbon juga akan memerlukan pembangunan ekosistem yang komprehensif, termasuk pelaporan dan pengauditan pelepasan CO₂ atau GHG syarikat yang kukuh, serta mekanisme penetapan harga dan perdagangan kredit karbon yang telus. 

 

"Walaupun ini memerlukan pelaburan yang besar dalam sistem dan infrastruktur untuk pelaporan, penetapan harga, dan perdagangan karbon, kami menjangka ia juga akan mewujudkan peluang ekonomi baharu, terutamanya dalam meningkatkan permintaan terhadap kepakaran tempatan dalam bidang perundingan alam sekitar, pengesahan, dan pengauditan," katanya. - DagangNews.com