Continental tutup kilang tayar di Alor Setar akhir 2025, seramai 950 pekerja terima bantuan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Continental tutup kilang tayar di Alor Setar akhir 2025, seramai 950 pekerja terima bantuan

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 28 April — Continental akan menghentikan operasi pembuatan tayar kereta penumpang dan trak ringan untuk rantau Asia Pasifik serta tayar motosikal di kilang pengeluarannya di Alor Setar, Kedah menjelang akhir 2025.


Syarikat itu berkata, seramai 950 pekerja di kilang tersebut akan tetap disokong sebagai keutamaannya dengan menyediakan bantuan seperti kaunseling kerjaya serta meneroka peluang pekerjaan berpotensi sama ada dalam Continental atau di luar.

 

 


Keputusan untuk menutup kilang tersebut katanya, adalah hasil daripada semakan perniagaan secara terperinci yang bertujuan bagi melindungi tahap daya saing, serta prestasi perniagaan syarikat tersebut di rantau Asia-Pasifik.


"Usaha ini juga dilaksanakan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan permintaan pelanggan dan Continental juga berhasrat mengoptimumkan portfolio produk tempatan serta memantau pengeluarannya," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

 

Continental


Bagaimanapun katanya, Malaysia kekal sebagai pasaran utamanya di Asia Pasifik serta sekali lagi menegaskan komitmen terhadap pelanggan dan rakan niaga, dengan menekankan hubungan jangka panjang serta kepercayaan sebagai teras utama perniagaan.

 

Rantau tersebut katanya, merupakan kawasan pertumbuhan strategik bagi Continental dengan rangkaian pembuatan tayar yang kukuh, selain ia akan memberikan perkhidmatan yang sama kepada pelanggan penggantian serta pelanggan peralatan asal.


Kilang pembuatan tayar syarikat berkenaan di Asia Paisfik terletak di Hefei, China; Rayong Thailand; Modipuram, India; Kalutara, Sri Lanka, serta terdapat satu lagi di Malaysia iaitu Petaling Jaya, Selangor.


Sementara itu fasiliti di Alor Setar memulakan operasinya pada 20 Disember 1979 dan sejak Mei 2012, ia menjadi anak syarikat milik penuh Continental dengan meliputi kawasan seluas kira-kira 133,000 meter persegi. - DagangNews.com