ConocoPhillips sasar pelaburan di Sabah, selepas umum keluar dari operasi medan minyak di Sarawak April lalu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

ConocoPhillips sasar pelaburan di Sabah, selepas umum keluar dari operasi medan minyak di Sarawak April lalu

KUALA LUMPUR 18 Jun – Gergasi minyak Amerika Syarikat, ConocoPhillips menyatakan hasrat untuk melabur di Sabah sambil menegaskan komitmen jangka panjangnya terhadap Malaysia.

 

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ryan Lance berkata syarikat itu kini sedang berbincang dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berhubung peluang pelaburan di negara ini.

 

"Kami akan melabur di Sabah pada masa akan datang, dan kini sedang meneroka pelbagai peluang bersama Petronas,” katanya kepada Bernama selepas menyertai sesi Dialog Kepimpinan bertajuk "Gas dan LNG: Pelaburan Jangka Panjang” di sini hari ini.

 

Sesi tersebut diadakan sempena penganjuran Energy Asia 2025 dan turut menampilkan panel lain termasuk Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Gas dan Maritim Petronas, Datuk Adif Zulkifli serta dimoderatorkan oleh Naib Presiden Kanan S&P Global merangkap Ketua Pakar Strategi Tenaga, Dr Atul Arya.

 

 

Ryan Lance

 

 

Untuk rekod, pada 30 April lalu ConocoPhillips mengumumkan pengunduran daripada operasi medan minyak dan gas laut dalam Salam-Patawali, atau dikenali sebagai Blok WL4-00 di perairan Sarawak.

 

Medan tersebut, yang ditemukan bersama Petronas pada 2018, dibangunkan menerusi usaha sama 50:50 dengan nilai pelaburan sekitar RM13.7 bilion (AS$3.13 bilion).

 

Dalam kenyataan ringkas, syarikat itu memaklumkan pengunduran tersebut adalah sebahagian daripada “semakan strategi negara”, tanpa mengulas lanjut.

 

Menurut laman web rasmi ConocoPhillips, syarikat itu terlibat dalam pelbagai peringkat penerokaan, pembangunan dan pengeluaran di Malaysia dengan kepentingan dalam lima Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC).

 

Empat daripada PSC itu terletak di perairan Sabah, iaitu Blok G, Blok J, Kluster Kebabangan dan Kluster Ubah yang diperoleh pada tahun 2024.

 

Sementara itu, dalam dialog kepimpinan berkenaan, Lance menyatakan keyakinan terhadap prospek sektor LNG dan menyuarakan kesediaan syarikatnya untuk membangunkan lebih banyak projek LNG pada masa hadapan.

 

Menjawab pertanyaan mengenai trend kontrak LNG jangka panjang yang semakin meningkat, Lance berkata pendekatan campuran kini sedang berlaku, dengan beberapa perjanjian berdekad ditemui di Qatar.

 

"Secara amnya, pelanggan mahukan fleksibiliti – kontrak jangka pendek dengan keanjalan destinasi. Namun masih belum jelas sama ada pemaju, pembeli atau penjual LNG akan menawarkan fleksibiliti sebegitu.

 

"Fleksibiliti seperti itu penting untuk memanfaatkan peluang arbitraj antara wilayah pengimport global,” ujarnya.

 

Ditanya sama ada harga LNG menjadi halangan untuk menembusi pasaran Asia, Lance menegaskan bahawa ConocoPhillips kekal dengan pandangan jangka panjang yang konstruktif terhadap harga LNG.

 

"Akan ada turun naik seperti lazimnya dalam industri ini, tetapi secara keseluruhan, unjuran jangka panjang kekal positif,” katanya. - BERNAMA