Citaglobal, Keppel bekerjasama dalam projek gas asli termampat bio (bio-CNG) di Pahang, Kelantan, Terengganu | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Citaglobal, Keppel bekerjasama dalam projek gas asli termampat bio (bio-CNG) di Pahang, Kelantan, Terengganu

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 7 Okt - Citaglobal Bhd memeterai perjanjian pembangunan bersama dengan Keppel Decarb (Malaysia) Sdn Bhd untuk bekerjasama dalam projek gas asli termampat bio (bio-CNG) di Pahang, Kelantan dan Terengganu.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia, Citaglobal berkata, kerjasama antara kedua-dua pihak ini bertujuan menukar biometana serta efluen kilang kelapa sawit dan sisa pertanian kepada bio-CNG.

 

Kumpulan itu berkata tenaga bersih yang dihasilkan dirancang untuk dibekalkan, antara lain, kepada Citaglobal Bioenergy & Green Eco Park — komponen utama dalam projek taman perindustrian seluas 100 hektar (247 ekar) yang akan dibangunkan oleh Citaglobal di Gebeng, Pahang.

 

 

 

 

 

 

Perjanjian pembangunan bersama ini berkuat kuasa selama dua tahun, dengan anak syarikat tidak langsung milik penuh Citaglobal, Citaglobal Bioenergy Sdn Bhd, bertanggungjawab mendapatkan dan membekalkan biogas yang telah ditapis, membangunkan kemudahan penangkapan biogas serta menguruskan kelulusan peraturan tempatan dan urusan tanah.


 

citaglobal
Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah menyaksikan pertukaran dokumen perjanjian antara Citaglobal dan Keppel  pada 6 Oktober 2025.

 


Sementara itu, Keppel akan menubuhkan pasukan pematuhan kelestarian dan keterkesanan jejak (traceability). Kedua-dua pihak juga akan menyediakan sokongan teknikal bagi projek tersebut.

 

Kedua-dua pihak boleh menubuhkan sebuah syarikat tujuan khas — di mana Citaglobal Bioenergy akan memegang kepentingan majoriti — untuk melaksanakan pembiayaan, pembinaan dan operasi projek tersebut tertakluk kepada penilaian daya maju.

 

“Kami amat berbesar hati untuk bekerjasama dengan Keppel dalam kolaborasi berimpak tinggi ini yang mengukuhkan lagi peranan Citaglobal sebagai peneraju tempatan dalam peralihan tenaga boleh diperbaharui,” kata Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Dr Mohamad Norza Zakaria dalam satu kenyataan pada Isnin.

 

 

 

 

 

 

Projek ini tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa, termasuk mendapatkan tanah, permit dan lesen yang diperlukan bagi pembangunan dan operasi projek.

 

Harga saham Citaglobal ditutup meningkat satu sen atau 1.25% kepada 81 sen, menjadikan modal pasaran kumpulan itu sebanyak RM345 juta. - DagangNews.com