CIMB Securities optimis keputusan kewangan Maxis pada 2QFY26 kukuh berdepan impak kerugian DNB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CIMB Securities optimis keputusan kewangan Maxis pada 2QFY26 kukuh berdepan impak kerugian DNB

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 21 JulaiCIMB Securities menjangka Maxis Berhad mencatat keputusan kewangan lebih kukuh pada suku kedua tahun kewangan 2026, disokong pertumbuhan hasil dan pengoptimuman kos.

 

Firma penyelidikan itu percaya kebimbangan terhadap impak kerugian Digital Nasional Berhad (DNB) semakin reda, sekali gus membuka ruang kepada penilaian semula saham syarikat pada masa depan.

 

Ujarnya, selepas keuntungan bersih naik 15% suku ke suku (QoQ) dan 12% tahun ke tahun (YoY) pada suku pertama, momentum positif diujur kekal untuk keputusan kewangan 2QFY26 pada 14 Ogos 2026.

 

"Bagi keseluruhan FY26, untung bersih Maxis dijangka berkembang 4% berbanding tahun sebelumnya, selepas diambil kira kesan pengiktirafan bahagian kerugian bersih DNB," kata CIMB Securities.

 

Di samping itu, pertumbuhan pendapatan diunjur kembali meningkat kepada 6% pada FY28 apabila impak kerugian DNB semakin berkurangan dan prestasi operasi syarikat berkenaan terus bertambah baik.

 

Kementerian Kewangan (MoF) bakal melengkapkan proses pemindahan pegangan saham DNB kepada syarikat-syarikat telekomunikasi yang terlibat, menjelang akhir suku ketiga atau awal suku keempat 2026.

 

Maxis_DagangNews2026

 

Justeru, CIMB Securities hanya mengambil kira kesan tiga bulan daripada pengiktirafan kerugian DNB dalam FY26, berbanding andaian enam bulan, sekali gus mengurangkan tekanan terhadap hasil Maxis.

 

"Di peringkat DNB, kami mengunjurkan kerugian bersih RM700 juta (FY26), RM500 juta (FY27) dan RM300 juta (FY28), yang mencerminkan jangkaan penyusutan kerugian secara berperingkat," tambah firma itu.

 

Walaupun mengambil kira faktor tersebut, ia mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham kumpulan itu dengan harga sasaran (TP) tidak berubah RM4.35 sesaham, berdasarkan penilaian aliran tunai diskaun.

 

Menurut CIMB Securities, prospek saham Maxis turut disokong pemulihan sentimen pasaran, peningkatan pembayaran dividen sesaham serta pengurangan kebimbangan pelabur terhadap prestasi kewangan DNB.

 

Sementara itu, data menunjukkan sahamnya kini diniagakan pada nisbah harga kepada pendapatan (PER) sekitar 17.6 kali, dengan margin kasar masih sedikit di belakang pesaing utama dalam 12 bulan lalu.

 

"Bloomberg turut mendapati sembilan daripada 22 penganalisis mengesyorkan 'beli' dengan purata TP RM4.00 sesaham, mencerminkan keyakinan prospek pertumbuhan kekal stabil," katanya. - DagangNews.com