Chin Hin beli tanah strategik Jalan Sultan Ismail daripada YNH Property pada harga RM455 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Chin Hin beli tanah strategik Jalan Sultan Ismail daripada YNH Property pada harga RM455 juta

Dari kiri: Pengarah Urusan EC Properties (M) Sdn. Bhd., Samuel Ng Heng Hong; Pengerusi Eksekutif Chin Hin Group Property Bhd., Datuk Wira Chiau Haw Choon; dan Pengarah Urusan Kumpulan YNH Property Bhd., Yu Kai Leun.
Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 9 Julai – YNH Property Bhd menjual sebidang tanah pegangan bebas yang strategik di Jalan Sultan Ismail, pusat bandar raya Kuala Lumpur kepada Chin Hin Property (JSI) Sdn. Bhd. (CHPJSI), anak syarikat milik 70% Chin Hin Group Property Bhd, pada nilai RM455 juta menerusi urus niaga tunai dan saham.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, YNH Land Sdn. Bhd., anak syarikat milik penuh YNH Property akan menerima RM409.48 juta secara tunai serta saham keutamaan boleh tebus bernilai RM45.5 juta yang diterbitkan pada harga RM100 sesaham sebagai balasan bagi penjualan tanah tersebut.

 

Selepas urus niaga itu dimuktamadkan, YNH Land turut akan memiliki pegangan ekuiti sebanyak 10% dalam CHPJSI menerusi penerbitan 25,000 saham biasa.

 

Penyertaan tersebut membolehkan YNH Land terus menikmati manfaat ekonomi daripada pembangunan tanah berkenaan serta potensi peningkatan nilai pada masa hadapan tanpa perlu menanggung kos pembiayaan, pelaksanaan dan risiko pembangunan projek.

 

Struktur pembiayaan pengambilalihan

Seorang lagi pemegang saham CHPJSI, EC Properties (M) Sdn. Bhd., akan menyediakan pinjaman pemegang saham tanpa faedah sebanyak RM91 juta bagi membiayai sebahagian daripada harga pembelian.

 

Baki RM318.5 juta pula akan dibiayai menerusi pinjaman berjangka yang diperoleh CHPJSI.

 

Berikutan pengambilalihan itu, nisbah penggearan Chin Hin Group Property dijangka meningkat kepada 1.25 kali berbanding 0.66 kali sebelum ini.

 

Sehingga 31 Mac 2026, Chin Hin Group Property mempunyai tunai dan baki bank sebanyak RM89.7 juta, manakala jumlah pinjaman berjumlah RM384.4 juta.

 

YNH Property memperoleh tanah seluas 1.06 hektar (2.61 ekar) yang terletak bertentangan Hotel Concorde Kuala Lumpur itu pada Julai 2004 pada harga RM109.87 juta.

 

Tapak kosong berkenaan mempunyai nilai bawaan teraudit RM77.54 juta setakat 30 Jun 2025 dan telah memperoleh Perintah Pembangunan yang sah sehingga Jun 2027 bagi pembangunan komersial bercampur dengan nisbah plot kira-kira 15.99.

 

 

chinhin

 

Tapak pernah dirancang untuk Menara YNH

Sebelum ini, YNH Property merancang membangunkan projek Menara YNH di atas tanah tersebut.

 

Berdasarkan laporan tahunan terkini syarikat, projek pembangunan bercampur itu dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM4 bilion, merangkumi hotel, pangsapuri servis serta pusat beli-belah.

 

YNH Property berkata, pelupusan tanah tersebut bertujuan membuka nilai aset strategiknya di samping mengukuhkan kedudukan kewangan kumpulan.

 

Hasil tunai daripada transaksi itu akan digunakan terutamanya untuk menebus sekuriti kekal yang dicagarkan ke atas tanah berkenaan, sekali gus mengurangkan pendedahan syarikat terhadap obligasi kupon yang semakin meningkat serta memperkukuh kecairan dan pengurusan modal.

 

Daripada jumlah tunai RM409.48 juta yang diterima, sebanyak RM375 juta akan digunakan bagi menebus sekuriti kekal tersebut, manakala baki RM34.48 juta diperuntukkan untuk menjelaskan sebahagian cukai keuntungan harta tanah (RPGT) hasil pelupusan berkenaan.

 

Perkukuh kedudukan kewangan YNH Property

Sehingga 31 Mac 2026, YNH Property mempunyai jumlah pinjaman sebanyak RM405.97 juta yang terdiri daripada RM320.93 juta pinjaman berjangka bercagar dan Nota Jangka Sederhana (MTN), serta RM85.05 juta kemudahan overdraf bank bercagar dan kredit pusingan.

 

Pada tempoh sama, syarikat memiliki tunai dan deposit jangka pendek sebanyak RM22.4 juta.

 

Dalam makluman berasingan, Chin Hin Group Property berkata tanah berkenaan akan dibangunkan sebagai projek pembangunan bercampur dengan anggaran GDV sebanyak RM3.6 bilion.

 

Projek itu dijangka merangkumi pangsapuri servis, hotel dan ruang runcit, dengan pelancaran disasarkan pada suku kedua 2027 serta siap sepenuhnya menjelang suku kedua 2034.

 

Perkukuh bank tanah di kawasan KLCC

Chin Hin Group Property berkata, pengambilalihan itu sejajar dengan strategi syarikat untuk memperluaskan bank tanah di sekitar kawasan KLCC.

 

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Wira Chiau Haw Choon berkata, peluang memperoleh tapak pembangunan pegangan bebas berskala besar di lokasi utama Segi Tiga Emas Kuala Lumpur adalah amat jarang.

 

"Cadangan pengambilalihan ini mengukuhkan bank tanah kami di koridor bandar yang mendapat permintaan tinggi, selaras dengan strategi pertumbuhan serta komitmen kami terhadap pembangunan berkualiti tinggi," katanya.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan YNH Property, Yu Kai Leun berkata, transaksi tersebut merupakan sebahagian daripada strategi kitar semula modal syarikat bagi merealisasikan nilai aset strategik, di samping meningkatkan fleksibiliti kewangan serta mengukuhkan disiplin pengurusan kunci kira-kira.

 

M&A Securities Sdn. Bhd. dilantik sebagai penasihat bagi cadangan pengambilalihan tersebut. - DagangNews.com