PETALING JAYA 22 Ogos – Censof Holdings Bhd, syarikat teknologi penyelesaian perisian pengurusan kewangan, mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, Century Software (Malaysia) Sdn Bhd, telah menerima Surat Setuju Terima (LOA) daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membangunkan pusat sehenti sistem pelesenan untuk pihak berkuasa tempatan (PBT).
Kontrak bernilai RM12.4 juta itu meliputi tempoh 24 bulan bermula 1 September 2025 hingga 31 Ogos 2027.
Dalam kenyataan hari ini, syarikat tersebut memberitahu skop kerja termasuk pembangunan, integrasi, migrasi, ujian, pentauliahan, latihan serta penyelenggaraan platform pelesenan komprehensif yang direka untuk menyeragamkan proses pelesenan di seluruh PBT.
"Sistem Pelesenan OSC ini bakal menjadi platform digital berpusat yang menyatukan dan mengautomasi keseluruhan proses pelesenan pihak berkuasa tempatan di seluruh negara," kata kenyataan itu.
Dengan ciri pemantauan masa nyata, pematuhan yang dipertingkat dan akses digital mesra pengguna, sistem ini dijangka meningkatkan kecekapan, ketelusan serta mutu penyampaian perkhidmatan kepada perniagaan dan rakyat.
Pengarah Urusan Kumpulan Censof, Ameer Shaik Mydin, berkata syarikat berbesar hati diberi kepercayaan oleh KPKT untuk melaksanakan inisiatif digital penting ini.
"Sistem Pelesenan OSC akan memperkasakan PBT dalam menyampaikan perkhidmatan dengan lebih cekap melalui pemusatan proses, pengukuhan pematuhan serta memastikan ketelusan dalam keseluruhan ekosistem," katanya.
Beliau menambah, projek itu akan mengukuhkan lagi komitmen Censof dalam menyokong agenda pendigitalan kerajaan Malaysia.
Katanya, berbekalkan kepakaran membangunkan sistem kewangan perusahaan dan sektor awam, Censof yakin dapat menyampaikan penyelesaian yang menetapkan penanda aras baharu bagi perkhidmatan awam, sambil menyumbang kepada pertumbuhan jangka panjang kumpulan.
Penganugerahan kontrak ini sekali lagi membuktikan reputasi kukuh Censof sebagai rakan teknologi dipercayai kepada agensi kerajaan, selain menegaskan momentum berterusan syarikat dalam menyokong aspirasi pendigitalan pentadbiran awam negara. - DagangNews.com








