KUALA LUMPUR 24 Dis – CBH Engineering Holding Bhd berada pada kedudukan strategik untuk memanfaatkan pertumbuhan berterusan ekosistem pusat data di Malaysia, disokong oleh saluran projek berkaitan pusat data yang kukuh serta faktor sokongan sektor yang menggalakkan, menurut Public Investment Bank Bhd (PublicInvest).
Firma penyelidikan itu berkata, momentum permintaan sektor pusat data terus dipacu oleh pemain hiperskala global seperti Google dan Microsoft yang telah melakukan pemerolehan tanah berskala besar di beberapa negeri utama, mencerminkan komitmen jangka panjang mereka terhadap industri pusat data Malaysia.
Menurut PublicInvest, perkembangan tersebut turut disokong oleh pelaburan sektor awam, termasuk pelaksanaan awan kecerdasan buatan (AI) berdaulat serta penubuhan pusat penyelidikan AI nasional.
“CBH berada pada kedudukan yang baik untuk meraih manfaat daripada inisiatif ini. Selain itu, Sabah dan Sarawak dijangka menerima peruntukan pembangunan Persekutuan terbesar pada 2026 masing-masing sebanyak RM6.9 bilion dan RM6 bilion.
“Bagi merebut peluang ini, CBH secara aktif bekerjasama dengan rakan tempatan untuk mengukuhkan kedudukan pasarannya,” katanya.
PublicInvest mengekalkan saranan ‘Outperform’ ke atas CBH dengan harga sasaran tidak berubah pada 62 sen.
Pandangan positif itu disokong oleh kemenangan kontrak terbaharu melalui anak syarikat milik penuh, CBH Engineering Sdn Bhd, yang menerima dua surat anugerah daripada pelanggan baharu bagi kerja-kerja peluasan stesen pendaratan pengguna 275-kilovolt sedia ada di sebuah pusat data di selatan Semenanjung Malaysia.
Kontrak bernilai RM130 juta itu merangkumi skop reka bentuk, kejuruteraan, pembinaan, pemasangan, pengujian dan pentauliahan, termasuk pembekalan bahan.
Projek tersebut akan dilaksanakan dalam tiga fasa, dengan Fasa 1 dijangka siap menjelang 30 April 2026, manakala Fasa 2 dan Fasa 3 dijadualkan siap dalam tempoh tujuh bulan daripada tarikh arahan bertulis dikeluarkan oleh pelanggan.
Susulan kontrak terbaharu itu, buku pesanan tertunggak CBH meningkat kepada RM662.3 juta, dengan lebih 93% daripadanya terdiri daripada projek berkaitan pusat data.
Buku tender syarikat kini berjumlah RM700 juta, dengan kira-kira 80% daripadanya berkait rapat dengan projek pusat data.
PublicInvest berkata kontrak berkenaan telah diambil kira dalam andaian pengisian semula buku pesanan bagi tahun kewangan 2025 dan tidak memerlukan sebarang perubahan kepada unjuran pendapatan.
Berdasarkan anggaran firma itu, projek tersebut dijangka menyumbang kira-kira RM19.5 juta sepanjang tempoh kontrak, dengan andaian margin keuntungan pada paras pertengahan belasan peratus. - DagangNews.com








