Capital A raih RM1.5 bilion Q2FY2025, suku ketiga berturut-turut catat keuntungan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Capital A raih RM1.5 bilion Q2FY2025, suku ketiga berturut-turut catat keuntungan

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Capital A Berhad mencatatkan lonjakan ketara dalam prestasi kewangannya bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2025 (2Q2025), apabila keuntungan selepas cukai (PAT) meningkat kepada RM1.5 bilion.

 

Ini merupakan pemulihan besar berbanding kerugian bersih RM543 juta pada tempoh sama tahun lalu, dipacu keuntungan pertukaran asing sebanyak RM0.9 bilion serta peningkatan prestasi penerbangan.

 

Kumpulan merekodkan hasil RM4.8 bilion bagi suku tersebut, dengan EBITDA berjumlah RM1.1 bilion dan Keuntungan Operasi Bersih (NOP) sebanyak RM671 juta.

 

Keputusan ini menandakan suku ketiga berturut-turut Capital A mencatat keuntungan.

 

Penerbangan: Margin Kukuh Walau Hasil Susut

Bahagian penerbangan AirAsia menyaksikan hasil menurun 3% tahun ke tahun (YoY) kepada RM4.5 bilion, terkesan oleh sentimen pelancongan yang lemah serta isu keselamatan di Thailand. Tanpa mengambil kira pasaran Thailand, hasil sepatutnya meningkat 2% YoY.

 

Walaupun hasil menurun, EBITDA penerbangan melonjak 32% YoY kepada RM931 juta dengan margin 21%. Unit ini beralih kepada keuntungan selepas cukai sebanyak RM884 juta, berbanding kerugian RM552 juta pada 2Q2024, disokong harga bahan api lebih rendah, pengukuhan mata wang serantau dan pengawalan kos yang ketat.

 

Faktor muatan kekal stabil pada 82% meskipun kapasiti meningkat 8% YoY. Jumlah penumpang menurun sedikit sebanyak 1% YoY kepada 15.5 juta, sebahagian besarnya akibat kelembapan di Thailand. Purata tambang susut 4% YoY kepada RM229, tetapi jika tidak termasuk Thailand, purata tambang meningkat 3%.

 

Pendapatan sampingan (ancillary) meningkat 3% YoY, menyumbang 19% daripada hasil penerbangan, manakala pendapatan sampingan per penumpang bertambah 2% YoY kepada RM51. Pertumbuhan ini didorong lonjakan 49% hasil kargo berikutan penggunaan ruang perut pesawat yang lebih baik. Sementara itu, kos seunit (CASK) turun 8% YoY kepada USc4.50.

 

Saiz armada bertambah satu pesawat menjadikan jumlah 226, dengan 206 pesawat aktif.

 

CEO AirAsia Aviation: Keyakinan Separuh Kedua Tahun

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation, Bo Lingam, berkata prestasi suku ini menunjukkan daya tahan perniagaan.

 

“Kami berjaya mengimbangi permintaan perlahan di Thailand serta tambang rendah akibat pertambahan kapasiti dengan pengurusan kos berdisiplin dan pertumbuhan pendapatan sampingan yang kukuh, disokong harga bahan api dan tren forex yang menggalakkan. Faktor muatan kekal tinggi selari dengan penambahan kapasiti dan keperluan pasaran.”

 

Beliau menambah, permintaan perjalanan jarak dekat kekal utuh, dipacu musim cuti musim panas di Asia Utara, perayaan serantau dan hujung minggu panjang. Bo yakin pasaran Thailand akan pulih bermula suku keempat, dengan strategi mempertahankan 40% pegangan pasaran domestik melalui pengagihan semula kapasiti serta harga yang lebih terarah.

 

Tony Fernandes: “Kini Fokus Kepada Pertumbuhan”

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tony Fernandes, pula menyifatkan keputusan tersebut sebagai titik perubahan penting.

 

“Keputusan yang kukuh, dicapai dalam suku yang biasanya paling lemah. Perniagaan penerbangan kini kembali ke landasan, dan kami hampir mencapai kekuatan penuh armada. Tambahan pula, hampir semua syarikat di bawah Capital A mencatat keuntungan pada peringkat PAT, dengan potensi pendapatan yang baik. Setelah kapal kembali stabil, kini fokus kami ialah pertumbuhan.

 

“Matlamat saya untuk enam bulan akan datang — mengembalikan semua pesawat ke perkhidmatan, mengembangkan operasi di Filipina dan Indonesia, serta meningkatkan pegangan AirAsia di MOVE kepada 60% yang akan melonjakkan pendapatan sampingan. Kami kini dalam proses membangunkan bon berpenarafan dan mendapatkan pembiayaan tempatan untuk menyusun semula hutang era COVID yang menekan keuntungan kami.

 

“Bagi pelupusan bahagian penerbangan, kami berada di fasa terakhir penstrukturan. Buat masa ini, kami sedang memberi maklum balas kepada Suruhanjaya Sekuriti Thailand (Thai SEC), dan berharap dapat menyelesaikan perkara yang masih tertangguh tidak lama lagi.”

 

Perniagaan Lain Capital A Terus Catat Pertumbuhan

Selain penerbangan, perniagaan bukan penerbangan Capital A turut menunjukkan peningkatan. Secara pra-penghapusan, syarikat-syarikat Capital A menjana hasil lebih RM741 juta pada 2Q2025, naik 10% YoY.

 

EBITDA melonjak 79% kepada RM117 juta, manakala NOP meningkat 821% YoY kepada RM44 juta. PAT pula berjumlah RM39 juta, menandakan suku ketiga berturut-turut mencatat keuntungan.

 

Prospek

Capital A yakin momentum akan terus dipacu pada separuh kedua tahun ini — tempoh yang lazimnya paling kukuh — dengan sokongan harga bahan api yang stabil, permintaan konsisten serta sumbangan lebih tinggi daripada pendapatan sampingan dan kargo. - DagangNews.com