Capital A mungkin tutup BigPay jika pemulihan gagal, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Capital A mungkin tutup BigPay jika pemulihan gagal, kata penganalisis

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 26 Feb - Capital A Bhd tidak menolak kemungkinan akan menutup operasi BigPay jika pelan pemulihan gagal, susulan prestasinya yang lemah di bawah segmen AirAsia Next, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, hasil AirAsia bagi 4QFY25 meningkat +15.6% tahun ke tahun merentasi semua segmen, namun AirAsia Next mencatatkan penurunan -18.4% tahun ke tahun akibat penggabungan BigPay.

 

Kos kakitangan yang lebih tinggi dan perbelanjaan penajaan yang meningkat. EBITDA segmen ini jatuh -39.5% tahun ke tahun, menandakan tekanan kos dan margin yang ketara.

 

"Pihak pengurusan menegaskan bahawa pelan pemulihan untuk BigPay sedang dilaksanakan, tetapi menambah penutupan perkhidmatan mungkin berlaku sekiranya prestasi tidak menunjukkan peningkatan yang signifikan," katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Secara keseluruhan AirAsia MOVE mencatat penurunan EBITDA sebanyak -8.9% tahun ke tahun walaupun hasilnya meningkat dengan kukuh +74.7% tahun ke tahun, terutamanya disebabkan operasi pengedaran B2B yang menawarkan margin lebih nipis.

 

Bagaimanapun, prestasi keseluruhan kumpulan tetap positif dengan keuntungan bersih teras meningkat +37.7% tahun ke tahun berbanding 4QFY24, menunjukkan pertumbuhan kukuh di segmen lain menampung tekanan margin di MOVE.

 

Susulan pemisahan perniagaan penerbangan, MBSB Research menurunkan unjuran pendapatan sebanyak -66%/69% bagi FY26F/FY27F. 

 

Pihak pengurusan kata firma itu, mensasarkan hasil FY26 sebanyak RM3.8 bilion (+12.0% tahun ke tahun), EBITDA RM600.0 juta (+20.0% tahun ke tahun), dan keuntungan bersih operasi RM266.0 juta.

 

Sementara itu Maybank Investment Bank (Maybank IB) mengekalkan saranan BELI dengan harga sasaran SOTP RM0.75, selari dengan penyesuaian kecil unjuran FY26E/FY27E sebanyak +2%/-3% serta pengenalan unjuran FY28E.

 

Firma itu berkata, Capital A kini hanya perlu memenuhi prasyarat keuntungan dua suku berturut-turut untuk klasifikasi PN17, atau memohon pengecualian, bagi melengkapkan proses kenaikan klasifikasi. - DagangNews.com