KUALA LUMPUR 2 Okt - Cape EMS Bhd menjalin kerjasama dengan Perak Transit Bhd bagi memacu projek infrastruktur pintar dan tenaga boleh baharu di Perak.
Kerjasama strategik ini memberi tumpuan kepada dua skop utama — pembangunan inisiatif e-mobiliti melalui smart bus stop serta pembangunan Hab Kenderaan Elektrik (EV) di Ipoh yang berfungsi sebagai pusat pengecasan dan mobiliti, kata Cape EMS dalam makluman di Bursa Malaysia.
Cape EMS akan bertindak sebagai penyedia perkhidmatan strategik di tapak-tapak projek yang dikenal pasti milik atau diuruskan Perak Transit dan anak-anak syarikatnya.
Syarikat itu akan mengetuai aspek penghantaran, pemasangan, kerja kejuruteraan, ujian serta pentauliahan sistem dan infrastruktur, selain menyokong aktiviti penyelenggaraan pencegahan dan membantu dalam proses mendapatkan permit serta kelulusan berkaitan.
Dalam kenyataan bersama, Cape EMS berkata kerjasama ini mencerminkan komitmen kedua-dua pihak untuk meletakkan kelestarian, inovasi dan mobiliti sebagai teras pembangunan infrastruktur awam.
“Ia selaras dengan strategi pengembangan Cape EMS dalam rumusan bandar pintar dan tenaga boleh baharu yang berimpak tinggi,” menurut kenyataan itu. Kedua-dua syarikat memeterai MoU bagi matlamat tersebut.
Perjanjian ini dijangka menyumbang secara bermakna terhadap aspirasi negara dalam peralihan tenaga bersih, dengan menggabungkan kepakaran Cape EMS dalam pembuatan berketepatan tinggi bersama kekuatan Perak Transit dalam operasi pengangkutan awam.
Kedua-dua pihak optimis projek ini mampu mentakrifkan semula masa depan mobiliti awam melalui pembangunan infrastruktur pintar dan lestari. - DagangNews.com








