Cadangan tubuh tribunal bagi kes buli kanak-kanak akan dibawa ke Kabinet - PM Anwar | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cadangan tubuh tribunal bagi kes buli kanak-kanak akan dibawa ke Kabinet - PM Anwar

KUALA LUMPUR 20 Ogos - Cadangan untuk menubuhkan tribunal berhubung kes buli membabitkan pelajar dan kanak-kanak akan dibawa ke mesyuarat Kabinet, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

 


Anwar berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said akan membawa cadangan itu dalam mesyuarat Kabinet nanti.

 


“Kita akan bincang di Kabinet,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

 


Turut hadir pada majlis hari ini ialah Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan Malaysia (MoF) Datuk Johan Mahmood Merican.

 


Azalina sebelum ini dilaporkan berkata bahawa kerajaan akan meneliti keperluan untuk menggubal Akta Anti-Buli yang memberi penekanan kepada penubuhan sebuah tribunal, bagi mendengar kes buli melibatkan pelajar dan kanak-kanak.

 


Beliau berkata pada masa ini, tiada definisi khusus atau hukuman yang jelas berkaitan kesalahan buli di bawah mana-mana peruntukan undang-undang.

 


“Perkataan ‘buli’ tidak dinyatakan secara khusus dalam Kanun Keseksaan, tetapi saya agak lega apabila kita telah meminda dan memperkenalkan Seksyen 507B hingga 507G Kanun Keseksaan,” kata Azalina pada satu majlis semalam.

 

Sementara itu, dalam ucapannya, Perdana Menteri sekali lagi menegaskan komitmen kerajaan untuk memastikan keadilan diterjemahkan kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang kaum majoriti atau minoriti.

 

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, setiap pendekatan yang dilaksanakan perlu adil, dengan mengambil kita keperluan rakyat, justeru kerajaan akan terus mendengar dan meneliti setiap pandangan menerusi dialog berterusan.

 

“…kalau nak kita selamatkan negara, kena jamin tentunya keadilan bagi yang majoriti dan minoriti. Kita tidak mahu tyranny of the majority, kita tidak mahu tyranny of the minority. Pendekatan itu harus lebih adil.

 

“Apa-apa kelemahan kita baiki dalam belanjawan (Belanjawan 2026). Kita sekarang dengar semua pandangan, dalam
belanjawan kita akan ubah suai dan perbaiki. Tidak semestinya apa yang kita lakukan (sekarang) semua sempurna, ada kelemahan. Sebab itu dialog mesti diteruskan,” katanya. -- BERNAMA