Bursa Malaysia tuntut penjelasan MClean susulan lonjakan harga saham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Bursa Malaysia tuntut penjelasan MClean susulan lonjakan harga saham

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Sept – Bursa Malaysia telah mengeluarkan pertanyaan aktiviti pasaran luar biasa (UMA) terhadap saham MClean Technologies Bhd, susulan kenaikan harga saham yang mendadak dan jumlah dagangan yang tinggi dalam tempoh dua sesi dagangan terakhir.

 

Pada sesi pagi hari ini, saham MClean melonjak hampir 14% kepada 53 sen daripada 46.5 sen, sebelum menyusut sedikit dan didagangkan pada 50.5 sen, masih mencatat kenaikan 8.6% atau empat sen dengan lebih 22 juta saham bertukar tangan.

 

Semalam, kaunter itu mencatat lonjakan 22.4%, melonjak dari 38 sen kepada 46.5 sen dengan jumlah dagangan melebihi 26 juta saham – paras tertinggi sejak Julai tahun lalu.

 

MClean Technologies, yang menyediakan perkhidmatan pembersihan dan rawatan permukaan untuk sektor minyak dan gas, pengurusan tenaga, pemacu cakera keras dan automasi, baru-baru ini mengumumkan keputusan suku kedua yang kukuh.

 

Bagi suku berakhir 30 Jun 2025, syarikat mencatatkan untung bersih RM2.83 juta, meningkat hampir tiga kali ganda berbanding RM992,000 dalam tempoh sama tahun lalu.

 

Hasil juga meningkat kepada RM17.6 juta daripada RM15.54 juta sebelum ini, disokong oleh permintaan berterusan daripada sektor pelanggan utama.

 

Susulan aktiviti dagangan luar biasa ini, Bursa Malaysia menuntut penjelasan daripada MClean sama ada wujud sebarang perkembangan korporat atau faktor lain yang mungkin menyebabkan lonjakan tersebut.

 

Pelabur turut diingatkan untuk berhati-hati dan membuat penilaian sewajarnya sebelum mengambil sebarang keputusan pelaburan berdasarkan khabar angin atau spekulasi.

 

Setakat berita ini ditulis syarikat belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkaitan pertanyaan UMA. - DagangNews.com